KEMUNCULAN kumpulan duo adik beradik, K-Ci & Jojo memang dinantikan oleh peminat muzik tanah air. Kalau tidak, masakan kira-kira 3 ribu penonton yang membanjiri Stadium Negara di Kuala Lumpur, sejak jam 6 petang lagi.
Biar mata sudah layu menahan menahan mengantuk, mulut sudah beberapa kali menguap, namun demi K-Ci dan Jojo, semuanya mampu bertahan. Itulah penangan si pemilik nama penuh Cedric Hailey (K-CI) dan Joel Hailey (Jojo) kerana bukan mudah untuk melihat nama besar ini berada di depan mata. Mereka muncul membuat persembahan dalam muzik aliran R&B sempena dengan festival muzik Live & Loud Kuala Lumpur 2007.
Sebaik saja pengacara mengumumkan kemunculan kumpulan ini, jeritan dan sorakan penonton berkumandang seolah-olah tidak sabar dengan kehadiran penyanyi yang selama ini hanya dilihat di televisyen. Tanpa melengahkan masa, K-Ci dan Jojo terus melunaskan tanggungjawab mereka menghiburkan penonton yang masih kelihatan bertenaga menyanyi dan menari biarpun malam semakin larut.
Selama sejam, penonton disajikan dengan pelbagai lagu popular mereka antaranya Tell Me It's Real, Crazy dan termasuklah All My Life serta beberapa buah lagu hits kumpulan Jodeci, yang pernah dianggotai oleh mereka berdua sebelum ini. Sambutan hangat penonton membuatkan barometer persembahan K-Ci dan Jojo semakin meningkat. Entah kerana panas atau ‘terlalu ghairah di pentas’, K-Ci mula membuka bajunya dan membiarkan tubuhnya itu disaluti singlet. Namun, lama-kelamaan penyanyi ini semakin hilang kawalan.
K-Ci kemudiannya mengoyakkan singlet yang dipakainya dan menyanyi dalam keadaan berlengging. Melihat keadaan itu, jeritan dan sorakan terutama daripada anak gadis semakin kuat kedengaran. Ingatkan setakat itu saja aksi berani penyanyi ini, rupa-rupanya ada tindakan lebih ekstrem yang dilakukannya apabila dia melondehkan seluarnya sehingga paras punggung menampakkan sebahagian daripada ‘boxer’ yang dipakainya. Satu aksi yang sangat keterlaluan. Tidak cukup dengan itu, dia juga melakukan aksi tidak senonoh ketika menari dengan beberapa penonton wanita yang diundang di atas pentas.
Amat memualkan dan ini menimbulkan persoalan kepada penganjur bagaimana perkara seperti ini boleh terjadi? Apakah setiap artis yang hadir tidak diberi taklimat terdahulu mengenai apa yang boleh dan apa yang dilarang ketika beraksi di atas pentas. Mengulas perkara ini, Ketua Pengarah Festival, Reymee Mohamed Hussein yang ditemui sejurus tamatnya konsert itu berkata sebagai penganjur, mereka kesal dengan apa yang terjadi memandangkan sebelum ini semua pihak sudah pun diberi amanat mengenai syarat membuat persembahan di negara ini.
“Kami sedar mereka perlu mematuhi sensitiviti negara ini. Tapi apa yang berlaku adalah di luar jangkaan kami kerana sejak awal lagi, semua pihak, termasuk pengurusan artis sendiri sudah dimaklumkan apa yang perlu mereka patuhi sewaktu mengadakan persembahan di sini. “Namun saya tidak nafikan mungkin mereka masih tidak biasa dengan budaya masyarakat di sini kerana ini baru pertama kali mereka menjejakkan kaki di Malaysia. Apa pun, saya puas hati dengan persembahan mereka kerana mereka berjaya melakukan persembahan di negara mereka sendiri.
“Lagi pun jika dilihat dari segi pemilihan artis antarabangsa, kami memang memilih artis yang 'selamat' dan tidak begitu kontroversi. Apa pun, ini adalah kali pertama kami anjurkan acara besar seperti ini dan kami akan cuba perbaiki lagi pada masa hadapan,” janjinya. Selain kumpulan duo tersohor ini, konsert sensasi itu turut diserikan dengan persembahan Lil G of Silk , Mint Condition serta seorang artis Filipina, Mark Douglas dan bekas Singapore Idol musim pertama, Taufik Batisah.
Malam itu turut menyaksikan artis tempatan seperti Nikki, Lah VE, Mode dan Azan Ruffedge menunjukkan bakat semula jadi mereka. Kekuatan vokal keempat-empat penyanyi ini menerbitkan rasa bangga dalam diri kerana Malaysia sebenarnya mempunyai penyanyi setaraf dengan apa yang negara luar miliki. Konsert yang memakan masa selama enam jam itu turut menampilkan bakat baru, Melissa Indot sebagai pembuka tirai.Dengan gaya penuh stylo dan vokal yang lantang, Melissa berjaya memikat penonton menerusi lagu Ain’t Got You, Woman In Love dan Sexy dengan caranya yang tersendiri.
sumber : Berita Harian