JARANG sekali pusat hiburan seperti The Zouk di Jalan Ampang memutarkan muzik berirama jazz sebagai santapan halwa telinga pengunjungnya. Namun sempena kehadiran Festival Live & Loud KL 2007 yang berlangsung sepanjang minggu lalu merubah keadaan itu. Pada Jumaat lalu, pengunjung berpeluang menikmati melodi yang agak santai ini apabila tiga penyanyi dari muzik genre sedemikian membuat kemunculan istimewa di tempat itu. Kuasa yang dimiliki Noryn Aziz, Malque D’Essentials dan Tompi berjaya membuatkan pusat hiburan itu penuh sesak dengan ramai pengunjung berbilang bangsa dan usia. Jika selama ini ramai yang beranggapan, jazz hanya sesuai untuk orang tua, andaian itu memang tersasar.
Buktinya, rata-rata pengunjung yang usia mereka masih di peringkat remaja begitu teruja dengan muzik ini. Biarpun ada lagu yang dinyanyikan Noryn sudah berpuluh tahun lamanya, namun mereka begitu seronok menyanyi bersama-sama. Antara lagu yang menjadi pilihan Noryn untuk dinyanyikan pada malam itu adalah I’m Alright, lagu terbaru dari album keduanya yang belum berada di pasaran, Make It On My Own, L.O.V.E selain lagu Cerita Cinta yang dipetik dari album solonya, Alamaya. Tidak dinafikan, aksi dan gaya Noryn ketika berada di atas pentas memang hebat. Kehebatannya bukan setakat mampu menyanyi tetapi juga kebijaksanaannya ketika berkomunikasi bersama peminat membuatkan dia tersenarai sebagai antara penyanyi solo wanita yang ada pesona tersendiri.
Walaupun difahamkan Noryn hanya diberi masa selama setengah jam saja untuk berada di atas pentas tapi dia sanggup bekerja lebih masa semata-mata kerana begitu teruja melihat sambutan peminat terhadap persembahannya. Selepas Noryn selesai menjalankan tugasnya, pentas sederhana besar itu diambil alih oleh sebuah kumpulan yang albumnya masih belum dipasarkan di Malaysia tetapi mempunyai peminat yang ramai di sini. Bagi penggemar irama neo-soul pasti mengenali siapakah itu Malique D’Essentials, yang dianggotai lima jejaka dan tiga gadis jelita. Sebaik saja muncul di atas pentas, seluruh ruang pusat hiburan itu bergema dengan sorakan penonton yang kebanyakan mereka adalah penyokong setia kumpulan dari Jakarta ini. Aksi mereka di atas pentas diakui memang unik. Bukan saja menyanyi malah mereka juga boleh menari dan mempamerkan pelbagai gaya yang menghiburkan. Muzik mereka yang rancak dan bertenaga membuatkan penonton tidak senang duduk dan mengambil kesempatan menyanyi dan menari bersama mereka.
Memulakan persembahan, mereka memilih lagu Free Your Mind diikuti dengan Funk Flow!, Itu Adanya, The One, Menikmati Cinta, Kangen, Terdiam dan Heaven. Selama 45 minit menyanyi, tenaga mereka masih kekal. Malah, vokal mereka juga tidak pancit walaupun kebanyakan lagu mereka rancak `dan memerlukan pergerakan yang agresif. Kemuncak malam itu, malam Jazz Live & Loud KL 2007 menampilkan penyanyi yang sering muncul dengan imej bertopi iaitu Tompi. Penyanyi kelahiran Aceh ini tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menghangatkan keadaan apabila memilih lagu My Music untuk dipersembahkan kepada peminat yang begitu setia menanti kehadirannya sejak awal lagi. Sesuatu yang menarik mengenai Tompi adalah, vokalnya yang unik dan tersendiri. Sambil menyanyi, dia juga mampu membuat pelbagai bunyi-bunyian mengikut alunan muzik yang dimainkan pemuzik pengiringnya. Malam itu, sengaja Tompi memilih rangkaian lagu berkonsepkan cinta. Antara lagu hits yang dinyanyikan figura ini adalah Selalu Denganmu, I’M Falling In Love, Salahkah, No More dan Lulu Siti. Menyedari persembahan malam itu turut disaksikan penyanyi Malaysia, Tompi lantas mengundang Dayang Nurfaizah untuk berduet dengannya menerusi lagu Isn’t She Lonely yang pernah dipopularkan oleh Stevie Wonder. Terdahulu, lagu Stevie Wonder, Uptight turut menjadi pilihan Tompi untuk dinyanyikan sebelum menutup persembahannya dengan lagu I’M Falling In Love. Secara keseluruhan, malam Jazz berjaya mencapai objektifnya iaitu untuk memberikan hiburan berkualiti kepada peminat irama ini secara khususnya. Cuma apa yang dikesalkan, tempoh persembahan Tompi terpaksa dipendekkan kerana pihak pengurusan Zouk ingin meneruskan operasinya untuk pengunjung luar.Moga perkara seperti ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan.
Sumber : Berita Harian