Monday, December 3, 2007

Gelagat Gurmit jadi bualan

KEMENANGAN filem 1957: Hati Malaya arahan Shuhaimi Baba merangkul dua anugerah di Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (Kliff07) di malam anugerah yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur kelmarin membuktikan produk kita berkualiti tinggi dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Bertemakan 'Bersama Dengan Kepelbagaian Budaya', festival lima hari itu menyediakan pelbagai acara menarik seperti simposium perfileman, ekspo, tayangan umum dan perdana serta kemuncaknya malam anugerah. Lebih daripada itu, penganjuran julung kali ini memberi ruang kepada penggiat filem tanah air bertukar idea dan merintis teknologi baru dalam produk tempatan.Meskipun Malam Anugerah berjalan lancar dan menutup kelemahan malam pembukaan yang agak lesu, namun tetap ada beberapa kelemahan ketara yang menjadi bualan ramai.

Antaranya pemilihan Gurmit Singh sebagai hos bersama Sarimah Ibrahim. Daripada luahan hadirin, Gurmit lebih bercakap perihal Singapura, sedangkan dia sudah dibayar sebagai pengacara dan patut menumpukan kepada Kliff07 yang berlangsung di Malaysia.Tidak cukup dengan itu, pemilihan pasangan penyampai anugerah juga ada yang tidak kena. Malah, ketika artis tempatan bergandingan bersama artis luar, soalan biasa yang ditanyakan apa pendapat mereka mengenai Malaysia.Begitu juga dengan penampilan Acha Septriasa dan Irwansyah berduet menyanyikan lagu My Heart tidak seperti diharapkan dan rendah vokalnya.

Paling mengecewakan, ramai penerima anugerah tidak hadir serta artis popular dalam dan luar negara yang hadir juga diibaratkan hanya boleh dibilang dengan jari.Sebelum majlis bermula, acara permaidani merah dikendalikan Sazzy Falak dan Andy dari kumpulan Estranged. Malam Anugerah disiarkan secara langsung di Astro Ria dan Astro Kirana serta menampilkan persembahan nyanyian daripada artis tempatan, Liza Hanim, Anita Sarawak, Suki, kumpulan Pretty Ugly serta gandingan Ajai dan Marsha.

Majlis juga turut dimeriahkan dengan kehadiran artis dalam dan luar negara sebagai penyampai anugerah. Antaranya Datuk Rahim Razali, Datuk Mustapha Maarof, Datuk Jalaluddin Hassan, Yusry Abdul Halim, Que Haidar, Maya Karin, Erma Fatima, Shuhaimi Baba, Alex Komang, Bret Perker dan Jutao.Mengulas kemenangan filem 1957: Hati Malaya yang berkisar sejarah kemerdekaan negara merangkul Anugerah Penataan Bunyi Terbaik dan Anugerah Khas Juri 3, Shuhaimi berkata, dia tidak menaruh harapan tinggi dan pemilihan filemnya mewakili negara sudah dianggap bonus besar.

“Saya hanya sempat menonton filem Sunday In Kigali (Kanada) saja dan tidak sanggup menonton filem lain yang bertanding kerana kualiti mereka begitu bagus.
“Saya dapati negara luar banyak menonjolkan filem berunsur patriotik, kemanusiaan dan alam sekitar. Jadi, apa salahnya negara kita juga menonjolkan filem sebegini sekali-sekala,” katanya.Sementara itu, filem Sunday In Kigali dari Kanada meraih tiga hadiah iaitu Anugerah Perdana: Filem Terbaik Amerika Utara, Anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonan mantap Fatou N' Diyae dan Anugerah Filem Terbaik yang melayakkannya merangkul hadiah wang tunai AS$10,000.

Wakil Suruhanjaya Tinggi Kanada di Malaysia, Bertrand Xavier Asselin, berkata mereka bangga kerana penyertaan julung kali ini membuahkan kemenangan berganda apabila merangkul tiga hadiah utama dan turut memuji penganjuran festival bertaraf antarabangsa di sini.Filem The Struggle For Liberation dari Namibia juga merangkul tiga hadiah apabila menang Anugerah Pengarah Terbaik (Charles Burnett), Anugerah Perdana: Filem Terbaik Afrika dan Anugerah Penataan Muzik Terbaik.Hadiah lain yang turut disampaikan ialah Anugerah Sinematografi Terbaik dimenangi filem Not By Chance (Brazil), Anugerah Lakon Layar Terbaik diraih filem American Fork (Amerika Syarikat), Anugerah Khas Juri 1 dirangkul filem Transformers (Amerika Syarikat) dan Anugerah Khas Juri 2 dimenangi filem Tehilim (Perancis).

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa), Datuk Seri Dr Rais Yatim, menyifatkan KLIFF07 berjaya mencapai objektifnya apabila mendapat 168 penyertaan dari 51 negara.“Saya mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan pihak berkaitan kerana berjaya menganjurkan majlis ini dengan tersusun. Namun, sudah adat apabila rumah siap, masih ada tukul dan pahat yang berbunyi.“Penekanan harus diberi supaya penyerlahan budaya menerusi filem nampak jelas seperti apa yang terkandung di negara kita. Ini kerana melalui filem kita dapat mewujudkan persahabatan dan pertukaran maklumat atau budaya,” katanya.Hadir sama isterinya, Datin Seri Masnah Rais; Ketua Setiausaha KeKKWa, Datuk Zakiah Ahmad; Pengerusi Finas, Tan Sri Jins Shamsudin; Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim serta Pengerusi KLIFF Sdn Bhd, Datuk Ab Raof Yusoh.

Sementara itu beberapa penggiat filem tanah air yang ditemui memuji penganjuran Kliff07 kerana membolehkan penggiat industri filem bertukar maklumat dan kepakaran perfileman serta pendedahan karya. Namun, wujud beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki untuk memantapkan lagi penganjurannya supaya mendapat perhatian ramai dari dalam dan luar negara.Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah, berkata pihaknya akan memberi input sewaktu sesi 'post mortem' nanti demi kebaikan bersama dan memperjuangkan industri filem tempatan.

“Sepatutnya penganjuran festival besar sebegini memerlukan penubuhan jawatankuasa kebangsaan dan diketuai sendiri Ketua Setiausaha KeKKWa. Ia juga perlu membabitkan persatuan seni tanah air sebagai ahli jawatankuasa induk.“Selepas itu, barulah serah kepada pihak lain untuk melaksanakan kerja berkaitan. Tapi harus diingat, pihak dilantik sekadar melaksanakan tugas diberi dan bukan membuat keputusan besar. Selain itu, festival ini patut ada stesen penyiar rasmi untuk meluaskan lagi promosinya di pelbagai peringkat,” katanya.

Tokoh perfileman disegani, Datuk Rahim Razali pula berpendapat profesionalisme KLIFF07 perlu ditingkatkan lagi supaya penganjurannya setanding dengan festival bertaraf antarabangsa lainnya.“Masanya sudah tiba supaya Malaysia ada festival filem tersendiri yang menjadi tradisi kukuh dan bertahan lama seperti di Cannes dan Tokyo. Kalau diperhatikan, banyak bandar besar dunia mempunyai festival filem sendiri yang menjadi identiti mereka.“Justeru, beberapa kelemahan ketara perlu diperbaiki demi memantapkan lagi penganjuran pada masa akan datang terutamanya dari segi publisiti, promosi dan memasyarakatkan filem.

“Sewajarnya Kliff07 jadi peristiwa besar di ibu kota dan turut membabitkan penyertaan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memeriahkannya dengan pelbagai kapasiti yang mereka ada.“Malah rakyat juga patut dibabitkan sama dan nikmati apa yang ada pada KLIFF07 seperti tayangan filem percuma dan sebagainya serta tidak terhad kepada orang tertentu saja. Ia bukan sekadar kerja KeKKWa dan Finas tetapi juga pihak lain,” katanya.

KEPUTUSAN PENUH FESTIVAL FILEM ANTARABANGSA KUALA LUMPUR
1) Anugerah Dokumentari Terbaik - 4 (Australia)
2) Anugerah Animasi Terbaik - Upin & Ipin (Malaysia)
3) Anugerah Filem Pendek Terbaik - Wind (Singapura)
4) Anugerah Penataan Muzik Terbaik - The Struggle For Liberation (Namibia)
5) Anugerah Penataan Bunyi Terbaik - 1957: Hati Malaya (Malaysia)
6) Anugerah Sinematografi Terbaik - Not By Chance (Brazil)
7) Anugerah Lakon Layar Terbaik - American Fork (Amerika Syarikat)
8) Anugerah Khas Juri 1 - Transformers (Amerika Syarikat)
9) Anugerah Khas Juri 2 - Tehilim (Perancis)
10) Anugerah Khas Juri 3 - 1957: Hati Malaya (Malaysia)
11) Anugerah Perdana: Filem Terbaik Afrika - The Struggle For Liberation (Namibia)
12) Anugerah Perdana: Filem Terbaik Amerika Selatan - Cyrano Fernandez (Venezuela)
13) Anugerah Perdana: Filem Terbaik Afrika - Sunday In Kigali (Kanada)
14) Anugerah Perdana: Filem Terbaik Eropah - Tehilim (Perancis)
15) Anugerah Perdana: Filem Terbaik Asia - One Summer With You (China)
16) Anugerah Pelakon Wanita Terbaik - Fatou N' Diyae/Sunday In Kigali (Kanada)
17) Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik - Adel Imam/The Yacoubian Building (Mesir)
18) Anugerah Pengarah Terbaik - Charles Burnett/The Struggle For Liberation (Namibia)
19) Anugerah Filem Terbaik - Sunday In Kigali (Kanada)

Sumber : Metro
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR