TEGURAN juri yang mengatakan Azman Adnan menari seperti kayu atau kaku, sedikit pun tidak meninggalkan kesan pada bekas pemain bola sepak kebangsaan itu.
Sebaliknya, suami kepada penyanyi As dari kumpulan Feminin itu menerima segala kritikan dan teguran dengan hati terbuka.
Jelas Azman, dia adalah seorang yang berfikiran terbuka dan tidak pernah berkecil hati dengan teguran daripada Linda Jasmine dan Fathee Abdullah kerana apa yang dikatakan adalah benar.
“Saya adalah seorang yang realistik dan menerima keputusan ini dengan hati terbuka. Mereka kata saya menari seperti kayu, saya tidak marah kerana ia benar. Saya akui saya bukanlah penari yang baik kerana ini bukan kepakaran saya.
“Apa pun selama tempoh empat minggu saya dan isteri telah cuba memberikan yang terbaik. Paling menggembirakan saya, isteri sentiasa memberi dorongan biarpun dia tahu saya tidak pandai menari,” katanya pada media selepas pengumuman penyingkirannya dan isteri.
Pasangan yang mewakili Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) telah berjaya mengumpul wang RM4,000 untuk diberikan kepada persatuan tersebut.
Azman dan As merupakan pasangan ketiga tersingkir daripada program televisyen (TV) realiti Astro Ria Sehati Berdansa selepas Radhi OAG bersama Lin Sharif dan penyanyi Haiza yang berdansa dengan suami, Hanafpe.
Jelas As, dia tidak kecewa dengan penyingkiran mereka kerana pada malam persembahan lagi perasaan akan tersingkir sudah dirasai.
“Walaupun kami hanya berpeluang sampai ke minggu keempat sahaja tapi saya bangga dengan suami kerana dia sentiasa membuat yang terbaik.
“Pada malam persembahan, saya sudah dapat rasa tidak ada harapan lagi kerana ketika menari dengan muzik sahaja pun dia tidak dapat ikut. Ini pula dengan iringan penyanyi. Apa pun saya gembira kerana sejak menyertai Sehati Berdansa, dia tampak lebih penyayang dan senang dibawa berbincang,” katanya terus terang.
Sumber : Utusan