Monday, December 3, 2007

Mukhsin belum cukup hebat - Yasmin Ahmad

MUKHSIN merupakan antara filem yang terpilih dalam senarai pendek lima filem tempatan yang layak untuk mewakili negara pada Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF 2007) yang berakhir Ahad lalu.
Bagaimanapun pengarah filem itu, Yasmin Ahmad dikatakan menarik diri daripada dicalonkan pada festival anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kerjasama KLIFF Sdn. Bhd. itu di saat-saat akhir.

Biarpun filem 1957: Hati Malaya mewakili negara pada festival filem itu, tetapi ramai yang tertanya-tanya dengan tindakan pengarah berasal dari Muar, Johor itu.

Ini kerana, Mukhsin juga dikatakan layak untuk mewakili negara menerusi KLIFF 2007, apatah lagi filem itu mempunyai pencapaian yang baik pada banyak festival filem di luar negara.
Filem itu antaranya pernah memenangi Anugerah Khas Juri (Generasi) pada Festival Filem Antarabangsa, Berlin di Jerman awal tahun ini.

Wartawan ABD. AZIZ ITAR sempat menghubungi Yasmin yang ketika ini berada di Taipei, Taiwan kerana menghadiri Festival Filem Golden Horse bagi mengetahui sebab berhubung keputusannya itu baru-baru ini. Ikuti temu bual tersebut.

MEGA: Mengapa anda tidak mahu Mukhsin dicalonkan menerusi KLIFF 2007 pada saat-saat akhir?
YASMIN AHMAD: Mukhsin menarik diri daripada KLIFF 2007 pada saat-saat akhir selepas saya mendapati filem ini masih belum cukup bagus untuk dipertandingkan pada festival itu. Saya rasa filem ini susah untuk memenangi sebarang anugerah pada apa-apa juga festival filem yang diadakan di negara ini. Apatah lagi festival ini dianjurkan oleh kalangan orang yang sama juga. Mereka ini jugalah yang telah menolak filem-filem kawan saya, Amir Muhammad. Antara filem Amir yang menjadi mangsa ialah The Big Durian, Lelaki Komunis Terakhir dan Apa Khabar Orang Kampung.

Tidakkah anda rasa rugi apabila tidak mahu Mukhsin dicalonkan?
Saya tidak rasa rugi. Sebaliknya, saya tidak faham kenapa filem arahan saya itu disenarai pendek dan dicalonkan dalam KLIFF 2007. Sedangkan pada Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20) yang lalu, filem saya itu tidak pula dicalonkan dalam kategori Filem Terbaik.

Adakah ini bermakna anda merajuk?
Saya juga tidak merajuk. Tetapi saya hairan sebelum ini filem-filem saya dikata macam-macam, antaranya filem Sepet dikata pencemar budaya. Mukhsin pula dikatakan tidak menampilkan banyak pembaharuan. Malah, filem ini juga dikatakan menggalakkan kanak-kanak bercinta. Kalaulah Mukhsin dikatakan tidak mempunyai pembaharuan, tidak payahlah senaraikannya dalam KLIFF 2007. Bagi saya, itu bukannya kritikan tetapi ia lebih berbau kutukan dan cacian yang boleh menjatuhkan reputasi saya sebagai pengarah filem.

Apa harapan anda atas penganjuran KLIFF 2007?
Saya harap festival filem ini dapat diselenggarakan secara profesional. Contohnya kawan saya dari Osaka, Jepun mengadu dia ada menghantar filem terbitannya untuk bertanding pada KLIFF 2007. Tetapi sayangnya hingga saat ini tidak mendapat apa-apa jawapan.

Akhir sekali, apakah perancangan anda terhadap Mukhsin?
Kami merancang untuk memasarkan Mukhsin ke Perancis, Korea dan Jepun selepas ada syarikat dari sana yang berminat dengan filem ini. Selain itu, Mualaf sudahpun tamat menjalani penggambarannya baru-baru ini. Mualaf akan ditayangkan di Singapura terlebih dahulu sekitar Februari tahun depan.
Sementara itu, filem terbaru saya berjudul Talentime pula sedang dalam proses proproduksi. Filem ini mengisahkan tentang budak-budak sekolah yang menyertai pertandingan nyanyian. Buat masa ini saya sedang mencari pelakon yang sesuai untuk filem itu.

Sumber : Utusan
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR