BARU-BARU ini Kak Uda bertemu dengan seseorang yang berjawatan tinggi di sebuah stesen TV berbayar yang bercerita tentang pelbagai rancangan diatur demi untuk memastikan mendapat lebih ramai lagi penonton yang melanggan stesen TV berkenaan.
Dari satu topik ke satu topik, akhirnya pegawai yang juga kawan baik Kak Uda itu bercerita tentang pelakon lelaki yang seorang ini.
“Kak Uda nak tahu, pada satu malam seorang produser menghubungi saya dan memberitahu mengenai perangai seorang pelakon lelaki yang dipilih menjadi hero dramanya.
“Produser itu memberitahu pelakon lelaki itu demand dan mahukan bayaran tambahan untuk lakonannya jika tidak dia tidak mahu menjalani penggambaran di luar daerah.
“Apa yang menghairankan saya dalam kontrak semuanya sudah termaktub berapa bayaran yang akan diterima dan di mana penggambaran akan dilakukan.
“Cuma yang saya tidak faham kenapa dia harus minta lagi bayaran hingga membuatkan bayarannya begitu tinggi sedangkan dia sudah bersetuju pada asalnya.
“Apa yang saya boleh beritahu kepada produser berkenaan, dia yang pilih pelakon itu, jadi dialah yang kena selesaikan masalahnya.
“Sebenarnya stesen TV kami tidak pernahlah demand artis-artis untuk setiap drama yang akan dihantar kepada kami. Apa yang kami mahukan ialah pelakon itu ada rupa dan berbakat.
“Kadang-kadang Kak Uda, saya pun naik bosan asyik pelakon yang sama saja dalam setiap drama TV di Malaysia. Apakah kita memang kekurangan pelakon atau memang ada komplot dalam dunia lakonan,” kata kawan Kak Uda.
Sebenarnya Kak Uda dah lama perasan perkembangan yang tidak sihat ini kerana setiap stesen TV ada pelakon kegemaran mereka jadi penerbit kenalah ikut selera mereka.
Sumber : Utusan