Monday, December 3, 2007

Suhaimi puas


Keputusan untuk membawa filem 1957: Hati Malaya daripada 27 filem tempatan untuk dipertandingkan di Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF2007) ternyata satu pilihan tepat apabila filem arahan Suhaimi Baba itu meraih dua anugerah pada upacara yang julung kali diadakan. Filem berkenaan meraih dua anugerah bagi kategori Penataan Bunyi Terbaik serta Anugerah Khas Juri.
Bagaimanapun, tewas kepada filem dari China, One Summer With You yang diangkat sebagai Anugerah Perdana: Filem Terbaik Asia.
Selain China, turut bertanding bagi kategori Asia ialah filem Red Robin dari Iran, Red Robin, The Homeland (Uzbekistan) dan The Overture (Thailand). Menurut Suhaimi, penyertaan 1957: Hati Malaya di dalam KLIFF 2007 bukan bertujuan untuk memburu kemenangan. Justeru apabila filemnya diumumkan memenangi dua kategori dia mengakui terkejut.

“Kami menyertai festival ini bukan bertujuan untuk meraih anugerah. Bagaimanapun saya ada berkata kepada beberapa rakan, dapat meraih satu anugerah pun sudah memadai. Apatah lagi saya berkesempatan menonton filem dari Kanada, Sunday In Kigali, filem mereka sungguh bagus dan memang layak untuk menang.
“Tapi itu bukan bererti saya mengalah sebelum bertanding dan juga bukan bermakna filem kita tidak bagus. Saya berpendapat setiap filem ada kelebihan begitu juga kekurangan,” katanya sambil menyeru lebih ramai pengarah dan penerbit menghasilkan filem berunsur budaya dan politik. Suhaimi berkata, walaupun tema sebegini tidak begitu popular di kalangan penonton kita, namun sekiranya pengeluar filem terus menyogokkan penonton dengan filem sedemikian tidak mustahil lama kelamaan ia pasti berjaya memancing jiwa penonton.
Ditanya apakah dengan kemenangan itu juga, dia akan terus menghasilkan filem berunsurkan patriotik, pengarah itu berkata, beliau saja tidak mampu untuk melakukannya secara berseorangan.
“Kalau saya seorang saja yang buat tidak boleh. Saya mahu semua orang malah lebih ramai pengarah dan penerbit buat. Kita mahu penonton menghargai dan mahu memupuk mereka supaya mencintai tanah air. “Lagipun sudah lama kita tidak ada filem berunsurkan sejarah. Kita kena hasilkan lebih banyak filem yang mencabar minda, bukan hanya untuk hiburan semata-mata,” jelasnya.
Beliau juga berharap festival ini dapat dijadikan sebagai satu acara konsisten yang diadakan setahun atau dua tahun sekali. Bagaimanapun, katanya, pada masa akan datang penganjur haruslah mengumumkan mengenai penganjuran festival ini lebih awal terutama dari segi tema cerita yang diperlukan agar pengeluar filem tempatan dapat bersiap sedia. “Sekurang-kurangnya setahun sebelum festival diadakan, penganjur sudah memaklumkan kepada pengkarya, filem jenis apa yang mereka mahu.
Ini memudahkan orang filem memberi fokus kepada tema yang ditetapkan itu,” katanya. Bagaimanapun, Suhaimi tidak menafikan keterbatasan pengeluar filem untuk berkarya menyebabkan filem tempatan sukar untuk menandingi filem luar. Namun, tegasnya, batas yang ditetapkan itu sebagai satu cabaran kepada penggiat filem tempatan supaya bekerja lebih keras lagi untuk membawa penceritaan yang berlainan.
Sumber : Berita Harian
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR