BERDASARKAN sambutan hangat dan kecemerlangan Konsert Alam M. Nasir yang berlangsung selama tiga malam di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada Februari lalu sememangnya membawa tuah kepada M. Nasir.
Masakan tidak, selepas lima bulan konsert itu melabuhkan tirainya dengan dihadiri oleh 5,000 penonton sepanjang tiga malam berlangsung, anak jati Singapura itu akan kembali beraksi di atas pentas tetapi kali ini dalam skala yang lebih besar.
Bakal berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 25 Julai depan, konsert yang diberi nama Konsert Satu Wajah M. Nasir itu juga menyaksikan seniman unggul itu kembali ke pentas yang sama selepas 15 tahun.
Ketika itu, dia beraksi dalam Konsert Canggung M. Nasir yang telah mendapat sambutan yang cukup hangat dan menggalakkan apabila dibanjiri hampir 7,000 penonton.
Kali ini, menerusi Konsert Satu Wajah M. Nasir, ia akan memperlihatkan dimensi lain seniman unggul ini dalam menterjemahkan karya-karyanya.
Tujuannya hanya satu iaitu mahu menghiburkan penonton dan peminat serta memastikan apa sahaja karya yang dilagukan pada malam itu nanti akan sampai tepat ke dalam lubuk hati mereka yang menikmatinya.
Berdasarkan trek rekod cemerlang Nasir pada konsert yang diadakan di IB itu ternyata sudah cukup menyakinkan Maya Axis Cerative Sdn. Bhd. (MACSB) selaku pihak penganjur untuk menganjurkan sebuah konsert oleh penghibur serba boleh ini.
Sumber: Utusan Online