MUNGKIN sahaja usia perkenalan mereka masih hijau. Baru sahaja mencecah setahun tetapi kedua-duanya kelihatan amat serasi bersama. Empat bulan berkerjasama di lokasi penggambaran Bio-Nik pada November tahun lepas membuatkan hubungan Intan Ladyana dan Kamal Adli rapat.
Mungkin sahaja pada awal-awal perkenalan, baik Intan Ladyana mahupun Kamal Adli lebih senang menganggap perhubungan mereka sebagai teman. Namun kedua-duanya tidak pula pernah menafikan, jauh lagi mengelak diri untuk mengakui mereka berkawan.
Sementelah melalui jelingan mata, gelak tawa dan rajuk bahagia sentiasa terukir saat bersama membuktikan bibit-bibit cinta berbunga di hati masing-masing.
Sejak enam bulan lalu, kedua-duanya sedang enak berpacaran serta melalui fasa-fasa indah lagi istimewa sebagai sepasang kekasih.
Apatah lagi dengan kerjaya yang sama di bidang lakonan membolehkan mereka untuk lebih memahami keperluan dan keterbatasan masa masing-masing.
Ia tentunya memberikan satu bonus kepada pasangan ini untuk memudahkan lagi keadaan dan perhubungan mereka. Walau pun begitu, biar sudah terang yang kedua-duanya sedang berbahagia, sebenarnya masing-masing lebih senang berbicara topik selain kisah cinta.
Baik Kamal mahupun Intan berterus terang mengakui kurang gemar diserang dengan persoalan mengenai kehidupan peribadi khusus yang melibatkan hati dan perasaan.
“Bukan mahu mengelak sebab memang kami berkawan dan memang kami rapat. Lagipun nanti kalau asyik mengelak orang menyampah pula.
“Saya memang lebih senang mengakui hakikat mengenai perhubungan ini. Cuma kami tidaklah asyik berkepit 24 jam atau selalu berdua misalnya seperti mesti menghadiri sebarang acara bersama-sama.
“Tidak! Hubungan kami bukan begitu. Hubungan kami hubungan yang amat sempoi (ringkas),” jelas Kamal sambil tersenyum.