Ekoran itu, penyanyi dan komposer Reefa dipilih sebagai pelakon gantiannya.
Namun, ia bertambah tegang apabila syarikat AC iaitu AC Konsortium diarahkan untuk menutup gerai yang didirikan di Istana Budaya hanya selepas tiga hari pementasan Cuci the Musical berlangsung.
Alasannya, Cuci the Musical adalah persembahan dan inisiatif Hans dan pihak produksi seolah-olah tidak mahu gerai yang didirikan itu cuba membayangi serta mengatasi populariti Cuci the Musical.
Sedangkan AC sendiri sudah meminta kebenaran dari Hans selaku penerbit Cuci the Musicaldan daripada persetujuan awal, Hans tidak kisah dan memberi kelulusan untuk AC berbuat demikian.
Selepas apa yang berlaku, AC sendiri mengakui bahawa dia kini mula kenal siapa lawan dan kawannya.
Malah, sehingga kini pun dia masih lagi terasa hati dengan insiden yang berlaku dan tidak sama sekali menyangka perkara tersebut menimpa dirinya.
"Kalau selepas ini pun mereka mahu meneruskan Cuci the Musical untuk musim kedua mahupun filem susulannya, saya percaya mereka boleh mencari pelakon gantian untuk saya.
"Alasannya mudah. Sepanjang pementasan Cuci the Musical, hanya saya seorang sahaja yang ada pelakon gantian dan ia tidak berlaku kepada Hans, Afdlin dan Awie.
"Kata mereka, tiga pelakon lain susah sekali untuk mencari pelakon gantian. Jadi, daripada situ sudah cukup jelas bahawa mereka boleh mencari pengganti saya bila-bila masa sahaja," kata AC dengan maksud yang mendalam.
Selebriti berusia 37 tahun ini ditemui pada rakaman program AC? yang berlangsung di Studio 1, Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Episod yang bakal bersiaran pada 21 Disember itu buat pertama kalinya menghimpunkan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza bersama adik-beradiknya, Saida dan Sairah dalam program itu.
Menyambung bicara, AC atau nama sebenarnya, Mizal Zaini menjelaskan dia sendiri tidak tahu bagaimana dakwaan negatif tentang dirinya timbul sepanjang terlibat dalam Cuci the Musical.
"Saya seorang yang profesional dan apa yang penonton lihat di atas pentas semuanya adalah kerana watak yang saya bawakan tetapi keluar dari pentas, saya adalah diri saya," ujarnya yang berharap kisah itu tidak akan menjejaskan reputasinya sebagai seorang ahli perniagaan.
Malah, AC memberitahu tiada siapa tahu dia menderita kesakitan akibat kecederaan pada belakangnya sehingga doktor menasihatkannya untuk berehat dalam jangka masa yang lama ketika itu.
Bagi AC sekarang, apa yang berlaku akan membuatkannya lebih berhati-hati di masa hadapan kerana sudah lama dia merasakan dirinya ditindas serta diperkotak-katikkan oleh sesetengah pihak.
"Sudah tiba masanya saya bangkit dan bertegas dalam apa juga keputusan yang saya lakukan. Kalau dulu, saya masih lagi boleh berlembut dan bertoleransi.
"Bukan bermakna saya tidak boleh bertolak-ansur tetapi ada had dan batasnya," katanya penuh makna.
Menganggap apa yang berlaku semuanya ada hikmah di sebaliknya, apa yang penting buat AC sekarang adalah untuk menumpukan perhatian kepada AC Konsortium.
"Saya bertuah kerana memiliki isteri dan pasukan yang begitu komited dengan kerja serta bijak merencana perancangan mereka," kata AC yang juga akan melebarkan perniagaannya dengan memperkenalkan pelbagai rangkaian pakaian termasuk baju, kasut, seluar dan lain-lain lagi.