Akademi Fantasia (AF) merupakan sebuah program realiti televisyen (TV) yang cuba melahirkan artis-artis yang serba boleh seperti menyanyi dan berlakon.
Justeru, tidak hairanlah ramai pesertaAF yang keluar daripada program realiti TV itu bukan setakat menjadi penyanyi atau pelakon, malah mencuba juga bidang-bidang yang lain.
Juara AF3, Mawi sebagai contohnya, bukan sahaja berbakat dalam bidang nyanyian dan lakonan tetapi beliau juga cuba mengembangkan bakatnya sebagai penerbit program TV.
Perkembangan penyanyi lagu Aduh Saliha itu dapat dilihat apabila dia kini sibuk menerbitkan rancangan-rancangan TV menerusi syarikat miliknya, Mawi World Entertainment Sdn. Bhd.
Menurut Mawi, keputusannya menceburi bidang penerbitan selepas mendapati tidak mampu bergantung atas jualan album-albumnya yang semakin merosot sejak kebelakangan ini.
"Saya memang sudah bersedia untuk menjadi penerbit secara lebih serius. Saya dapati sudah sampailah masanya saya menjadi seorang penerbit dan bergerak sendiri dalam bidang ini.
"Kata orang sediakan payung sebelum hujan. Apatah lagi, saya sendiri menyedari tentang hakikat jualan album yang semakin merosot sejak akhir-akhir ini kerana banyak faktor.
"Antaranya senario muat turun lagu di Internet dan masalah cetak rompak. Senario itu berlaku di seluruh dunia," katanya pada sidang media di Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.
Majlis itu diadakan selepas pelancaran syarikatnya sendiri iaitu Mawi World Entertainment Sdn. Bhd. (MWESB) oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.
Jelas Mawi, MWESB yang ditubuhkan dengan modal mencecah RM1 juta itu buat masa ini lebih kepada penerbitan program-program TV dan drama untuk siaran stesen-stesen TV tempatan.