SETIAP kali menjelangnya acara anugerah, ramalan dan teka-teki memang tidak pernah terlepas daripada menjadi topik perbincangan oleh semua lapisan masyarakat.
Ada kalanya perdebatan itu boleh mengundang pertikaman lidah kerana masing-masing mahu menjadi 'peguam bela' kepada lagu mahupun artis yang mereka minati untuk diangkat sebagai juara.
Dan, Anugerah Juara Lagu (AJL)terbitan TV3 merupakan salah sebuah acara anugerah yang saban tahun memang cukup dinanti-nantikan.
Sejak kali pertama diadakan pada tahun 1986, AJL sudah mencipta label dan fenomenanya yang tersendiri yang sudah tidak perlu disangkal lagi kredibilitinya.
Biarpun ada ketikanya AJL pernah dihambat dengan pelbagai kontroversi, namun tiada siapa yang mampu menidakkan kuasa dan pengaruh acara anugerah muzik yang tertua di negara ini.
Menjelang AJL24 yang akan berlangsung Ahad ini (10 Januari) di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Hits mahu menghangatkan debaran itu dengan membawa pembaca untuk melihat lagu yang berpotensi untuk diangkat sebagai juara.
Apatah lagi, tahun ini AJL sudah memansuhkan pengkategorian lagu lantas menjadikan persaingan kali ini memang dilihat cukup sengit dan hebat sekali.
Apa yang ditawarkan TV3 hanyalah kedudukan juara, naib juara dan tempat ketiga selain daripada kategori Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik.
Kesemua 14 buah lagu yang bertanding memiliki keistimewaan masing-masing dan sentuhan yang tersendiri yang pasti akan memeningkan kepala juri untuk memilih karya yang terbaik untuk dinobatkan sebagai juara.
Menariknya juga kali ini, AJL24 turut menyaksikan saingan karya komposer muda dan senior yang pastinya akan memperlihatkan pertandingan yang cukup dinanti-nantikan.
Sebelum itu, ingin sekali diingatkan bahawa ramalan ini bukanlah untuk memihak kepada sesiapa pun mahupun mempengaruhi pihak juri untuk menobatkan pemenang AJL24.
Bukan itu sahaja, AJL juga bukanlah pertandingan yang mempertandingkan penyanyi tetapi adalah untuk mengangkat dan mengiktiraf hasil kerja komposer dan penulis tempatan.
Lagu Bencinta ciptaan gandingan mantap yang digelar dynamic duo, Audi Mok dan Faizal Tahir merupakan karya yang sedari awal dilihat berpotensi untuk diangkat sebagai juara.
Bukan kerana populariti penyanyinya tetapi diamati dan diperhalusi sebaik-baiknya, laguBencinta dilihat membawa satu perubahan baru dalam komposisi muzik tempatan baik dari segi lagu mahupun susunan muziknya.
Bukan itu sahaja, rentak muziknya juga melengkapi lirik lagu yang menceritakan tentang dilema dihadapi oleh seorang lelaki yang menyintai dan membenci bekas kekasihnya dalam masa yang sama.
Itulah kelebihan yang ada pada Audi dan Faizal yang tidak pernah kering idea kreatif dalam menampilkan muzik serta penciptaan lagu yang berbeza dan unik.
Seandainya lagu Bencinta bergelar juara, usah dipertikaikan kerana Audi dan Faizal memang layak untuk menerima pengiktirafan tertinggi.
Dan, ia juga mampu menebus kekecewaan mereka yang gagal dinobatkan sebagai juara tahun lalu biarpun ramai yang meramal mereka akan memenanginya menerusi lagu Sampai Syurga.
Saingan terdekat Bencinta, sudah pasti lagu Cinta Adam dan Hawa dendangan Misha Omar yang juga bukan calang-calang karya.
Pernah dinobatkan sebagai Lagu Pop Terbaik AIM16, tidak mustahil lagu dan lirik ciptaan Azmeer dan Allahyarham Loloq ini untuk bergelar juara.
Lagu ini memang indah baik dari segi melodi dan liriknya selain susunan muziknya yang menambahkan lagi keindahan lagu ini sehingga ia menjadi sebuah lagu yang memiliki nilai estetika yang tinggi.
Ditambah pula dengan kehebatan Misha melagukan lagu ini dengan penuh penghayatan dan gaya tersendiri, peluang Cinta Adam dan Hawa untuk bergelar juara memang cerah.
Jika Bencinta atau Cinta Adam dan Hawa memenangi gelaran juara, ia berjaya memecah monopoli kumpulan indie yang memenangi gelaran keramat itu selama dua tahun berturut-turut.
Selain itu, lagu Pergi juga tidak kurang hebatnya yang merupakan sebuah lagu yang cukup ringkas namun berupaya meninggalkan kesan yang berbekas.
Gandingan Pete Teo dan Amran Omar untuk lagu tema filem Talentime itu juga merupakan antara karya yang mampu membuat kejutan pada malam itu nanti.
Emosi lagu ini terletak kepada melodi dan liriknya yang melengkapi antara satu sama lain lantas meletakkan karya ini di kelasnya yang tersendiri.
Begitu juga dengan lagu Dan Sebenarnya yang dicipta sepenuhnya oleh komposer dan penyanyi muda semakin meningkat naik, Yuna.
Siapa tahu rezeki akan menjadi milik Yuna pada malam itu nanti kerana muzik yang dibawakannya benar-benar mencetus satu revolusi dalam industri muzik tempatan.
Biarpun ada segelintir pihak yang melihat muzik yang dibawakan Yuna hanyalah sekadar mengulangi resipi yang pernah dibawakan oleh penyanyi antarabangsa sebelum ini, setidak-tidaknya Yuna membawa sesuatu yang berlainan untuk industri.
Karya Aidit Alfian dan Ad Samad menerusi lagu Masih Jelas juga memiliki peluang yang cerah untuk menempatkan diri dalam tiga tempat yang ditawarkan oleh TV3.
Meskipun bukan calon pilihan tetapi siapa tahu juri melihat sesuatu yang istimewa pada Masih Jelas bagi membolehkannya menduduki mana-mana tiga posisi yang sudah tersedia.
Lagu Rindu Terhenti juga tidak sewajarnya dipandang enteng kerana lagu itu juga memiliki kualiti dan berada dalam liganya tersendiri.
Dicipta oleh Aubrey Suwito yang sebelum ini pernah menjuarai AJL20 menerusi lagu Gemilang, jangan terkejut kalau lagu ini juga berjaya menempatkan diri di mana-mana tiga kedudukan itu.
Begitu juga dengan lagu Tak Mungkin Kerna Sayang ciptaan Ajai dan liriknya pula oleh Habsah Hassan yang siapa tahu mampu membuat kejutan pada malam AJL24 nanti.
Mungkinkah juga kali ini kemenangan akan berpihak kepada kumpulan indie yang menyaksikan hanya tiga kumpulan sahaja yang bertanding kali ini iaitu Estranged, Hujan dan Bunkface?
Jika salah sebuah kumpulan ini menang, AJL mencipta rekod tersendiri apabila berjaya melakukan hatrik untuk tiga tahun berturut-turut dengan menobatkan kumpulan indie sebagai juara.
AJL24 yang dihoskan oleh Faizal Ismail, Cheryl Samad dan Ally Iskandar itu turut menampilkan persembahan selingan istimewa oleh Datuk Jeffrydin & The Siglap Five, Jay Jay, Search dan Meet Uncle Hussain.
Terlebih dahulu, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza akan membuat persembahan pembukaan dengan menyampaikan lagu yang menjadi juara tahun lalu iaitu Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussein) dalam tiga rentak berbeza.
Malaywood: Gua pilih kumpulan Indie sebagai juara ~ Bunkface ~ sebab Lagu Bunkface unik dan terkini pada zamannya...