TIADA apa yang menggembirakan mereka berdua apabila diberi peluang untuk melebarkan lagi sayap seni mereka.
Apatah lagi, Nabil dan Jaclyn Victor mempunyai mimpi yang sama iaitu untuk beraksi dalam sebuah pementasan teater tidak kira ia adalah muzikal mahupun tidak.
Lantas, apabila ditawarkan untuk berlakon dalam teater Cuci the Musical (CTM) musim kedua yang akan membuka tirainya bermula 27 Julai ini, masing-masing tidak mampu menolaknya.
Bagi mereka, inilah peluang untuk membuktikan kepada peminat masing-masing memperlihatkan bakat mereka di pentas teater pula.
Sewaktu ditemui pada sidang akhbar pengumuman CTM musim kedua di Istana Budaya, baru-baru ini, tiada lain yang diharapkan Nabil dan Jaclyn selain sokongan daripada semua pihak.
Biarpun dipilih untuk menggantikan AC Mizal dalam membawakan watak C'Tan, namun Nabil tidak melihatnya sebagai satu beban.
Sebaliknya, jelas Nabil, inilah masa untuknya menimba ilmu dan mempelajari selok-belok tentang dunia teater daripada mereka yang cukup berpengalaman.
Impian
"Dari mula lagi sewaktu Hans mengumumkan mahu menerbitkan CTM, saya memang teringin untuk melibatkan diri dalam produksi ini biarpun hanya sekadar tempelan sahaja.
"Bagi saya, pelakon yang membintangi teater ini sudah merupakan mereka yang cukup saya kagumi dan memang impian saya untuk berlakon di samping mereka.
"Lalu, apabila peluang ini tiba, saya memang bersyukur dan akhirnya doa saya dimakbulkan Allah SWT. Insya Allah, saya akan memberikan komitmen terbaik sepanjang pementasan ini," ujar juara Raja Lawak musim kedua itu dalam nada terharu.
Sebelum sidang akhbar berlangsung, memang sudah ada ura-ura mengatakan Nabil akan menggantikan AC.
Malah, sewaktu AC menyatakan keinginannya untuk mengundurkan diri daripada pementasan itu atas alasan mahu fokus kepada perniagaannya, memang Nabil dilihat sebagai calon yang paling tepat untuk menggantikannya.
Sememangnya Hans selaku penerbit telah mengambil langkah bijak memilih Nabil kerana popularitinya itu sendiri mampu membawa masuk audiens baru menyaksikan musim kedua ini.
Selain itu, Nabil menjadi pilihan Hans dan Harith Iskander selaku pengarah untuk membintangi musim kedua CTM adalah kerana nilai bintang yang ada dalam dirinya itu.
"Tetapi, perkara utama saya mahu Nabil di dalam pementasan ini adalah kerana kebijaksanaannya dalam memberikan humor dan lawak yang berkualiti serta tidak slapstik.
"Saya percaya dengan adanya Nabil kali ini ia akan membawa satu perubahan yang lebih segar kepada audiens. Saya sendiri teruja untuk melihat hasilnya," jelas Hans pula memberikan rasionalnya.
Sementara itu, Jaclyn atau Jac sewaktu ditemui pula berkata, dia benar-benar berterima kasih kepada Hans yang mempercayai bakatnya untuk membintangi CTM musim kedua.
Biarpun masih baru dalam dunia lakonan, tetapi Jac mahu menggalas cabaran baru untuk terus memantapkan profil seninya sebagai seorang aktres.
Merupakan seorang peminat teater muzikal, Jac memang teringin untuk beraksi di pentas teater untuk menguji dirinya sebagai seorang anak seni.
"Apabila menonton teater muzikal, saya memang kagum melihat pemainnya yang begitu kental jiwa dan semangat mereka di atas pentas.
Pengalaman
"Kerana itu, saya mahu mencabar diri saya untuk pementasan ini. Saya pasti ia akan memberikan satu pengalaman yang cukup menyeronokkan," jelas pelantun lagu Bertamu Di Kalbu dan Cinta Tiada Akhirnya ini penuh optimis.
Juara Malaysian Idol musim pertama ini akan membawakan watak Farah menggantikan Adibah Noor yang tidak dapat melibatkan diri kali ini kerana terikat dengan komitmen seni yang lain.
Satu persoalan yang timbul apabila Jac menggantikan Adibah adalah keserasian antara watak Farah dan Jojo yang dijayakan oleh Awie.
Ini kerana pada musim pertama, Adibah dan Awie memberikan lakonan yang hebat sehingga mereka dilihat sebagai pasangan yang cukup serasi.
Menjawab persoalan itu, Hans menjelaskan semuanya akan bergantung kepada skrip yang telah dirombak dan keserasian itu sendiri akan timbul menerusi latihan yang dijalinkan.
"Saya amat percaya kepada bakat Jac kerana dia membuktikan dia memang seorang pelakon baru yang mampu pergi jauh.
"Teater muzikal ini merupakan satu lagi platform untuknya menjadi seorang pelakon yang disegani," kata Hans penuh optimis.
Harga-harga tiket untuk CTM musim kedua adalah dari RM24 hingga RM190 bergantung kepada tarikh dan waktu pementasan.
Untuk tempahan dan pertanyaan, sila layari www.ticket2u.biz atau hubungi talian 03-4149 8600/03-4026 5558.
Sumber : Utusan Online