Sunday, May 27, 2007

Penjualan album lembab Mawi tetap yakin

SATU persoalan timbul apabila kemunculan album terbaru Mawi berjudul Satu Dalam Seribu dikatakan tidak berjaya mencipta fenomena.

Ia dibandingkan dengan penjualan album-albumnya terdahulu seperti Mawi Tercinta, Best Of Mawi World dan album VCD Karaoke MTV Best Of Mawi World yang berjaya mencatatkan penjualan memberangsangkan walaupun album-album itu dipasarkan dalam tempoh tiga bulan berturut-turut.

DARI kiri: Freddie Fernandez, Mawi dan Christopher Blaise ketika melancarkan album Satu Dalam Seribu di Carrefour Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Mawi Yang Tercinta berjaya mencatat jualan 135,000 unit manakala album Best Of Mawi World mencipta rekod pencapaian penjualan tertinggi dengan 165,000 unit sementara album VCD Karaoke MTVnya berjaya terjual sebanyak 60,000 unit.

Namun perkara sebaliknya berlaku pada album solo ketiganya itu apabila hanya mencatat jumlah jualan sebanyak 50,000 unit biarpun setelah sebulan dipasarkan.

Melihat situasi pasaran apalagi daripada penyanyi paling popular tempatan menyebabkan muncul tanggapan bahawa populariti Raja SMS itu semakin menurun.

Namun Ketua Pegawai Eksekutif Maestro Talent Management Sdn. Bhd., Freddie Fernandez menolak dakwaan itu.

Malah bertegas bahawa orang ramai khususnya peminat mengambil langkah berhati-hati sebelum membuat sebarang pembelian.

“Kita tidak boleh nafikan, lagu-lagu daripada album sulung Mawi mendapat airplay yang hebat dan seterusnya melonjakkan penjualannya berbanding album kali ini kerana masih kurang ke udara malah lagunya pun masih belum masuk carta.

“Namun kita dapat melihat perkembangan positif terhadap penjualannya cuma ia mungkin mengambil masa. Apa yang pasti kita yakin, album Satu Dalam Seribu ini mampu menarik perhatian peminat kerana semua lagu yang terkandung di dalamnya bukan sahaja berkualiti tetapi sedap didengar,” kata Freddie pada majlis pelancaran album Satu Dalam Seribu baru-baru ini.

Majlis pelancarannya telah diadakan di pasar raya Carrefour, Wang Maju, Kuala Lumpur dan turut dihadiri Pengarah Pasaraya cawangan itu, Christopher Blaise.

Mawi puas hati

Berbanding album sulungnya yang hanya memuatkan lapan buah lagu, album kali ini tampil dengan 10 buah lagu yang dicipta dan ditulis khusus untuk Mawi.

Single pertamanya, Mungkin Langitmu Lebih Biru semakin mendapat tempat di hati pendengar dan kini dia muncul dengan single keduanya, Angan dan Sedar.

Mawi sendiri mengakui berpuas hati dengan kemunculan album kali ini dan menganggapnya lebih baik daripada album sebelumnya.

“Daripada segi kualiti, ya malah saya akui vokal saya juga lebih memberangsangkan dalam album ini,” kata Mawi yang memilih sendiri seleksi lagu-lagu yang terkandung dalam Satu Dalam Seribu berkolaborasi bersama penerbitnya, M. Nasir, Ajai, Fauzi Marzuki, Yasin, Arab dan Ananth.

Mengulas mengenai penjualannya yang dikatakan lembab, jelas Mawi, masih ramai yang belum mengetahui mengenai kemunculan album barunya itu.

Menyanyi ke Dubai, album di Indonesia

Muncul dengan album baru, pihak pengurusan Maestro telahpun membuat beberapa perancangan untuk Mawi dalam usaha memperkenalkan dirinya kepada dunia luar.

Antaranya sedang berusaha mengumpulkan lagu-lagu terbaik untuk pembikinan album yang bakal dipasarkan di Indonesia.

“Album ini dibuat khas untuk pasaran Indonesia memandangkan selera muzik mereka agak berbeza daripada kita.

“Pun begitu, kita menjalinkan kolaborasi antara komposer di sana dengan penyusun muzik tenpatan dan sebaliknya dalam usaha mendapatkan yang terbaik,” kata Freddie.

Malah jelasnya, Mawi turut akan ke beberapa ibu kota Timur Tengah antaranya Dubai pada Julai ini untuk mengadakan persembahan di sana.

“Ia satu peluang yang tak mungkin dilepaskan. Malah kita merancang untuk menjadikan ia satu aktiviti berterusan buat Mawi,” tambah Freddie.
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR