Sunday, May 27, 2007

Siti Nurhaliza - Pertama kali rai ibu mertua


Berbeza dengan tahun-tahun terdahulu, tahun ini penyanyi jelita Datuk Siti Nurhaliza menyambut Hari Ibu bersama dengan dua wanita yang cukup dikasihinya, ibu kandungnya Siti Salmah Bachik dan ibu mertuanya Siti Zainab Hanaffi.

Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur baru-baru ini menyaksikan Siti begitu bahagia menyambut Hari Ibu bersama-sama kedua-dua wanita tersebut dengan disaksikan hampir 1000 penonton yang hadir pada acara Ibu Ratu Hatiku - Sepetang Bersama Siti Nurhaliza dan M.Nasir.

Sepotong ucapan Siti kepada ibu mertuanya pada majlis itu, “Terima kasih kerana melayan Siti dengan baik serta dapat menerima Siti seadanya. Insya-Allah Siti akan menjadi isteri yang baik serta menjadi ibu yang baik untuk anak-anak Siti.”

Begitu mendalam kata-kata anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini.

Untuk ibu kandungnya, Siti mempersembahkan lagu kegemaran ibunya, Bunga Melor.

Kata Siti, “Siti pernah menyanyikan lagu ini dengan ibu Siti. Ingat nak nyanyi bersama lagi kali ini tapi ibu Siti ini pemalu. Sifat ibu Siti yang membuatkan Siti sayang padanya ialah dia sporting, penyabar, lemah lembut. Malah untuk pengetahuan semua, suara ibu Siti diperturunkan kepada Siti. Suara ibu Siti lebih sedap daripada Siti. Siti tak habis menuntutnya lagi.”

Untuk peminat-peminat yang hadir menyaksikan persembahannya petang itu, Siti menghadiahkan lagu Umi (pernah dipopularkan oleh Datuk Shake).

“Khas untuk Hari Ibu, Siti belajar menyanyikan lagu ini untuk anda. Tapi kalau ada yang kurang, Siti minta maaf. Maklumlah baru belajar,” ujarnya.

Sememangnya para ibu terpesona dengan kecantikan dan kehebatan Siti pada petang itu. Biarpun sedikit semput ketika menyanyi tetapi persembahan Siti tetap yang terbaik.

Selain Umi dan Bunga Melor, Siti turut menyanyikan lagu Gubahanku, Pastikan, Aku Cinta Padamu dan Joget Pahang.

Lebih memeriahkan suasana apabila Siti menjemput Lan Pet Pet melawak dan menyanyikan lagu Anak versi Filipina.

Berkongsi pentas dengan Siti, sifu M.Nasir menghiburkan khalayak menerusi lagu-lagu popularnya iaitu Raikan Cinta, Sama Cinta, Kepadamu Kekasih, Bonda, Suatu Masa serta Juwita Citra Terindah.

Suasana petang tersebut cukup ceria apabila Adibah Noor selaku pengacara begitu bijak mencuri hati khalayak yang hadir dengan lawak jenakanya. Selain itu, Adibah turut menyanyikan dua buah lagu antaranya Terlalu Istimewa.

Menutup tirai persembahan yang cukup meninggalkan memori indah kepada para ibu yang hadir, ketiga-tiga mereka berduet menerusi lagu Dua Insan Bercinta.

Persembahan petang itu dianjurkan oleh Mahir Entertainment & Production sempena meraikan Hari Ibu yang disambut pada 9 Mei lalu.

Hasil kutipan jualan meja sebanyak 30 peratus akan disumbangkan kepada Yayasan Nurjiwa yang dikemudikan oleh Siti Nurhaliza bersama suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa.
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR