Showing posts with label Adibah Noor. Show all posts
Showing posts with label Adibah Noor. Show all posts

Thursday, February 28, 2008

Hot Fm Big Jam : Meriah !

KONSERT Hot Fm Big Jam 2008 yang diadakan minggu lalu di Dataran Petaling Jaya, Selangor khusus bagi meraikan pendengar setia stesen radio Hot FM berlangsung penuh kemeriahan.

Banyak kelainan yang ditampilkan dalam konsert berkenaan termasuk durasi konsert yang berlangsung selama lapan jam bermula pukul 4 petang itu membariskan banyak artis tempatan serta luar negara.

Antara artis tempatan yang mengadakan persembahan ialah Adam, Liza Hanim, Nurul, Ramlah Ram, Dayang Nurfaizah, Misha Omar, Jaclyn Victor, Adibah Noor, Elyana, Sofaz, New Boyz, Hujan dan Kristal.

Hot Fm Big Jam 2008 juga menampilkan artis luar seperti Alif Aziz dan Imran Ajmain dari Singapura serta kumpulan Ungu (Indonesia).





Malaywood: Kalau artis indonwood takde pun akan tetap meriah jugak. Siut jer, mesti nak selitkan band Indonwood. Ungu bukan nyer best mana pun. Lebih kurang macam kumpulan New Boyz jer. Kalau New Boyz dah ader, tak payah lah Ungu tuh... BOSAN !!!

Sunday, June 17, 2007

Adibah Noor ke Beijing

Impian Adibah Noor akhirnya terlaksana apabila pada 25 April lalu, dia berangkat ke Beijing bersama 60 orang peminatnya untuk bercuti serta menyaksikan persembahan eksklusifnya di sana.

Apa yang membuatkan Adibah Noor terharu dan tidak menyangka sama sekali adalah, 60 orang peminatnya itu sanggup mengeluarkan belanja yang besar semata-mata untuk bercuti selama lima hari dan beramah mesra dengannya.

“Apabila mereka telah mengeluarkan belanja yang begitu besar, itu bermakna saya perlu membuat yang terbaik dan melayani peminat saya sebaik mungkin ketika di Beijing.

“Alhamdulillah, saya tidak menerima sebarang rungutan dan keluhan daripada mereka ketika menghabiskan masa selama lima hari di sana. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana memberikan kerjasama yang sebaik mungkin dan memahami dengan keadaan saya ketika di sana,” kata Adibah Noor.

Tambah Adibah, dia bagaikan tidak percaya apabila dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa tempahan yang diterima adalah di luar dugaan sehingga pihak penganjur terpaksa menutup tempahan lebih awal.

“Pada mulanya, saya ingat mungkin tidak ramai yang akan mengikuti lawatan ini. Akhirnya, yang pergi melebihi apa yang pihak penganjur tetapkan. Saya begitu seronok dapat menghabiskan masa dengan peminat dan jika berkesempatan, saya mahu turut serta dalam lawatan seperti ini lagi,” katanya lagi.

Bercerita tentang pengalamannya di Beijing, Adibah menjelaskan, impiannya terlaksana apabila dapat melawat negara berkenaan apatah lagi dapat menyaksikan sendiri keindahan Tembok Besar China yang berusia lebih 600 tahun itu.

“Saya bagaikan bermimpi dapat menyaksikan keutuhan Tembok Besar itu di depan mata saya. Begitu juga dengan Kota Larangan dan Medan Tiananmen yang begitu luas.

Thursday, June 7, 2007

Hiburan berprestij dari 12 artis ternama

BAGI peminat persembahan konsert hiburan berprestij, saluran RTM1 akan menayangkan rakaman Konsert Perdana Diraja Kedah yang berlangsung di Dewan Wawasan, Kedah Darul Aman jam 8.30 malam, Sabtu ini.

Konsert gilang gemilang itu sempena ulang tahun hari keputeraan ke-79 Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, baru-baru ini.

Sebanyak 27 lagu yang dipilih khas untuk konsert ini disampaikan oleh 12 artis jemputan sama ada secara solo, duet, medley dan persembahan alat muzik.

Antara artis yang menyertai persembahan itu ialah Datuk Ahmad Jais (medley Mengharap Sinar Menelan Kabus/ Mabuk Kepayang, Kucupan Azimat), Datuk Yusni Hamid (Serunai Malam, medley Strangers In The Night/Quando Quando).

Selain itu, Misha Omar (Nafas Cahaya) Adibah Noor (Terlalu Istimewa, Fly Me To The Moon), Dayang Nurfaizah (Sepi Sekali, Hurt, lagu Tell Him duet bersama Misha Omar).

Gabungan mantap persembahan artis dan pemuzik tersohor tanah air meninggalkan kesan mendalam kepada peminat muzik orkestra.

Tidak ketinggalan menjayakan persembahan, Aris Ariwatan dengan lagu Permaidani dan Cinta Tak Kenal Siapa serta persembahan permainan alat muzik oleh duo Mohram dan Kumar.

Persembahan artis diiringi pemuzik Orkestra RTM di bawah pimpinan Datuk Mokhzani Ismail, manakala penyampai berita RTM, Fathil Hidayat Ghazali dan Zamzarina Zambri sebagai pengacara rancangan yang disiarkan selama dua jam itu.

Papa rock, Ramli Sarip turut menyampaikan lagu medley Teratai/ Sejuta Wajah/ Jangan Tunggu Lama-Lama/ Nyanyian Serambi dan Kamelia.

Dalam pada itu, Ramli berkata, dia tetap puas hati sekalipun hanya membuat persembahan secara medley pada konsert itu.

“Saya yakin konsert itu berjaya mengembalikan nostalgia kepada penonton pada malam itu.

“Konsert ini juga sebahagian daripada usaha murni RTM sempena hari keputeraan baginda. RTM dan kumpulan orkestra mengambil berat mengenai pemilihan dan nilai lagu yang mudah diterima oleh semua.

“Di samping penyertaan daripada artis terkemuka tanah air, kejayaan konsert ini terbukti apabila menerima sambutan menggalakkan daripada penonton,” katanya.

Sunday, May 27, 2007

Siti Nurhaliza - Pertama kali rai ibu mertua


Berbeza dengan tahun-tahun terdahulu, tahun ini penyanyi jelita Datuk Siti Nurhaliza menyambut Hari Ibu bersama dengan dua wanita yang cukup dikasihinya, ibu kandungnya Siti Salmah Bachik dan ibu mertuanya Siti Zainab Hanaffi.

Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur baru-baru ini menyaksikan Siti begitu bahagia menyambut Hari Ibu bersama-sama kedua-dua wanita tersebut dengan disaksikan hampir 1000 penonton yang hadir pada acara Ibu Ratu Hatiku - Sepetang Bersama Siti Nurhaliza dan M.Nasir.

Sepotong ucapan Siti kepada ibu mertuanya pada majlis itu, “Terima kasih kerana melayan Siti dengan baik serta dapat menerima Siti seadanya. Insya-Allah Siti akan menjadi isteri yang baik serta menjadi ibu yang baik untuk anak-anak Siti.”

Begitu mendalam kata-kata anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini.

Untuk ibu kandungnya, Siti mempersembahkan lagu kegemaran ibunya, Bunga Melor.

Kata Siti, “Siti pernah menyanyikan lagu ini dengan ibu Siti. Ingat nak nyanyi bersama lagi kali ini tapi ibu Siti ini pemalu. Sifat ibu Siti yang membuatkan Siti sayang padanya ialah dia sporting, penyabar, lemah lembut. Malah untuk pengetahuan semua, suara ibu Siti diperturunkan kepada Siti. Suara ibu Siti lebih sedap daripada Siti. Siti tak habis menuntutnya lagi.”

Untuk peminat-peminat yang hadir menyaksikan persembahannya petang itu, Siti menghadiahkan lagu Umi (pernah dipopularkan oleh Datuk Shake).

“Khas untuk Hari Ibu, Siti belajar menyanyikan lagu ini untuk anda. Tapi kalau ada yang kurang, Siti minta maaf. Maklumlah baru belajar,” ujarnya.

Sememangnya para ibu terpesona dengan kecantikan dan kehebatan Siti pada petang itu. Biarpun sedikit semput ketika menyanyi tetapi persembahan Siti tetap yang terbaik.

Selain Umi dan Bunga Melor, Siti turut menyanyikan lagu Gubahanku, Pastikan, Aku Cinta Padamu dan Joget Pahang.

Lebih memeriahkan suasana apabila Siti menjemput Lan Pet Pet melawak dan menyanyikan lagu Anak versi Filipina.

Berkongsi pentas dengan Siti, sifu M.Nasir menghiburkan khalayak menerusi lagu-lagu popularnya iaitu Raikan Cinta, Sama Cinta, Kepadamu Kekasih, Bonda, Suatu Masa serta Juwita Citra Terindah.

Suasana petang tersebut cukup ceria apabila Adibah Noor selaku pengacara begitu bijak mencuri hati khalayak yang hadir dengan lawak jenakanya. Selain itu, Adibah turut menyanyikan dua buah lagu antaranya Terlalu Istimewa.

Menutup tirai persembahan yang cukup meninggalkan memori indah kepada para ibu yang hadir, ketiga-tiga mereka berduet menerusi lagu Dua Insan Bercinta.

Persembahan petang itu dianjurkan oleh Mahir Entertainment & Production sempena meraikan Hari Ibu yang disambut pada 9 Mei lalu.

Hasil kutipan jualan meja sebanyak 30 peratus akan disumbangkan kepada Yayasan Nurjiwa yang dikemudikan oleh Siti Nurhaliza bersama suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa.
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR