Waris Jari Hantu: Empat tahun Shumi pendam hasrat
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
BUKAN senang Shuhaimi Baba
merealisasikan pembikinan filem terbarunya, Waris Jari Hantu (WJH) yang memasuki
pawagam sejak Khamis lalu.
Shuhaimi atau Shumi mengambil masa empat
tahun untuk memahami ilmu saka secara mendalam sebelum menghasilkan skripnya.
Bagaimanapun, hanya 50 peratus penceritaannya dipetik daripada kisah benar,
manakala selebihnya berdasarkan imaginasi fiksyen.
WJH bukanlah cerita
dongeng, sebaliknya cetusan ilham daripada kisah benar masyarakat di sekitar
Negeri Sembilan. Kebanyakan orang tua zaman dulu memiliki semangat rimau dan
sering kali pewarisnya adalah golongan wanita.
Masyarakat dulu percaya,
semangat rimau mampu melindungi keluarga, tempat tinggal dan kampung halaman
mereka daripada ancaman musuh, bagaimanapun semangat itu akan bertindak ganas
sekiranya dicabar.
Menerusi WJH watak pemilik semangat rimau, Tok Wan,
dilakonkan Seniwati Azean Irdawaty. Turut beraksi Maya Karin sebagai Tina, Rusdi
Ramli sebagai Ari/Ariana, Nanu Baharudin (Kasma), Liza Othman (Mak Yati), Zaidi
Omar (Pak Ngah), Dang Suria (Farah), Riezman Khuzaimie (Roslan), Kavita Sidhu
(Ira) dan Rashid Salleh (Ah Meng) serta penampilan istimewa Ida Nerina, Jit
Murad dan Joanna Bessey.
Ikuti temubual Bintang Popular (BP) bersama
Shumi, Khamis lalu.
BINTANG POPULAR (BP) Apa itu Waris Jari Hantu?
SHUMI: WJH mengenai warisan mistik semangat harimau yang menjadi cerita
legenda popular bagi sesetengah masyarakat Melayu negara ini. Bukan hanya di
Malaysia, malah seluruh Asia Tenggara tahu mengenai kewujudan saka rimau. Ini
bukanlah filem hantu tetapi sebuah drama penuh mistikal.
BP: Bagaimana
tercetusnya ilham filem mistik sebegini?
SHUMI: WJH ditulis berdasarkan
pengalaman seorang teman rapat saya yang berada di London. Beliau tertarik
dengan cerita semangat rimau dan mahu dirinya mewarisi ilmu saka serta menjadi
sebahagian komuniti rimau yang menetap di London. Dia seorang lelaki lembut yang
begitu tertarik dengan komuniti semangat rimau saka Negeri Sembilan. Hanya
golongan perempuan menjadi pewarisnya kerana perempuan adalah tuan tanah dalam
adat Negeri.
BP: Kenapa menunggu masa agak lama untuk merealisasikan
WJH?
SHUMI: Ideanya dah tercetus kira-kira empat tahun lalu,
bagaimanapun saya terpaksa menangguhkan pembikinannya dulu kerana ketika itu
saya belum tahu penerimaan masyarakat terhadap kisah mistik dan alam ghaib.
Selepas Pontianak mendapat sambutan, barulah saya dapat membaca penerimaan
penonton. WJH bukan saja membabitkan ilmu saka yang mistikal, malah manusia
khunsa pun saya anggap sebagai mistikal. Lalu, saya gabungkan dua elemen iaitu
semangat rimau dan manusia khunsa.
BP: Difahamkan anda memang membawa
harimau ketika penggambaran. Tidakkah ia membahayakan?
SHUMI:
(Tergelak). Inilah pertama kali saya menggunakan harimau dalam filem saya. Untuk
keselamatan, pelakon WJH tidak berlakon dengan harimau tapi kami mengambil shot
harimau dulu pada peringkat permulaan. Dua harimau berusia dua dan tiga tahun
dari Tiger Shelter, Ipoh dipilih. Ia memang garang dan shooting perlu dibuat
mengikut mood mereka. Kami juga guna kamera khas supaya ia tidak membahayakan
DOP (pengarah fotografi). Lucunya, seekor harimau itu kebetulan namanya Azean!
Selepas mendapat shot kedua-dua harimau itu, kami mencantumkannya dengan CGI
(Imej Janaan Berkomputer). Kira-kira 20 peratus filem ini menggunakan CGI.
Seperti biasa, saya menggunakan kamera High Definition (HD) serta kesan bunyi
Dolby Stereo Surround (DSS) bagi menambahkan lagi kesan gegar dan ngauman rimau.
BP: Benarkah Rusdi dan Maya hampir-hampir putus asa gara-gara tidak
dapat membawakan watak Ari dan Tina?
SHUMI: Ya, mereka hampir mengalah
dan enggan meneruskan sesi latihan. Alasannya, watak Ari dan Tina terlalu berat.
Apabila berdepan dengan keadaan itu, saya tidak ada pilihan lain selain memujuk
dan terpaksa menyuntik keyakinan lagi dalam diri mereka.Bagaimanapun, saya tak
salahkan Maya atau Rusdi kerana saya faham bukan senang bagi Maya membawakan
watak Tina yang bercinta dengan khunsa. Dari segi fizikal, Rusdi tidak ada
masalah mengikut cara lelaki lembut berjalan atau bercakap, cuma tertekan
bermain dengan emosi.
BP: Bagaimana anda melihat perkembangan lakonan
Maya yang sudah sinonim dengan watak pontianak?
SHUMI: Maya dan karakter
pontianak memang sukar dipisahkan. Memang Maya perlu mengambil sedikit masa
untuk mengatasi masalah itu. Bagaimanapun, saya bangga dengan ketekunan Maya
kerana dia akhirnya mampu melakonkan watak Tina, gadis kampung yang naif. Ia
berbeza dengan karakter sebenarnya di luar filem. Begitu juga Azean Irdawaty.
Kita selalu lihat gaya serta penampilan Azean dalam karakter moden dan komedi,
tapi Tok Wan benar-benar menukar perwatakannya dalam lakonan.
BP: Bajet
pembikinan WJH?
SHUMI: WJH diterbitkan dengan kos agak rendah, RM1.4
juta tapi saya berbangga dengan barisan pelakon, tenaga produksi dan tenaga
teknikal kerana mereka mampu melaksanakan tugas dengan memuaskan. Saya agak
tertekan kerana WJH terpaksa ditayangkan bersama blockbuster seperti Pirates of
the Caribbean 3, Shrek3 serta Spiderman 3. Bagaimanapun saya percaya, kalau ada
rezeki, ia tidak akan ke mana selepas kita berusaha dan saya hanya bertawakal.
BP: Bagaimana dengan road tour WJH?
SHUMI: Saya terharu dengan
sambutan peminat dalam siri road tour WJH di seluruh Malaysia.Program promosi
bermula di Pulau Pinang disusuli Lembah Klang, Plaza Alam Sentral, Shah Alam,
Selayang dan diteruskan ke Terminal One, Seremban, Mahkota Parade, Melaka pada
Mei lalu. Semalam (Sabtu) road tour WJH dibuat di Kuantan Parade, Kuantan dan
akan berakhir di Jom Heboh bertempat di Danga Bay, Johor Bahru pada 9 Jun ini.
Kalau ada masa datanglah berjumpa pelakon kami.