MINGGU lalu saya berkesempatan menonton Zoom In terbitan RTM selepas agak lama tidak berpeluang menyaksikannya. Disebabkan adanya pelancaran Citrawarna 2007 pada waktu perdana, maka siaran rakaman Zoom In pun terpaksa dilewatkan sehingga ke tengah malam. Pun begitu ia tidak menjadi satu masalah kerana artis yang membuat persembahan di kaca TV berjaya membuatkan mata saya yang mengantuk kembali segar bugar.
Penyanyi itu tidak lain daripada Bob AF2 yang selama ini saya kagumi mutu vokalnya. Sejak dulu lagi saya sudah tertarik dengan kualiti suara Bob. Dialah salah seorang daripada bintang realiti TV yang berkualiti selain beberapa kerat lagi terutama Jaclyn Victor, Mawi, Zahid, Haziq, Farhan dan Mila.
Malam itu Bob menyanyikan rangkaian lagu yang pernah menaikkan namanya dalam pertandingan itu seperti Salam Terakhir (Sudir), Laguku Untukmu (Hasnul) serta lagu Puteri (Zainalabidin), M Nasir (tanya sama itu Hud Hud) dan Saat Ku Idamkan (Amy Search). Dia juga tidak ketinggalan menyanyikan lagu Latin Marc Anthony, My Baby You.
Selain lagu pop dan balada, Bob tidak lupakan lagu etnik Indonesia, Laksamana Raja Di Laut, berentak zapin-dangdut yang ada persamaan dengan lagu Nostalgia Aidilfitri dendangan Datuk Sharifah Aini. Kita pun tahu Bob memang punya kemampuan menyanyi lagu Melayu asli. Tentu ramai masih ingat Bob adalah finalis Anugerah Juara Lagu bagi kategori Etnik Kreatif bersama Allahyarham Rosiah Chik tetapi digantikan dengan Aspalela Abdullah. Pendek kata Bob sudah lama menunjukkan kualiti nyanyian yang hebat dalam nyanyian asli.
Cuma keadaan fizikal Bob yang chubby itu menyebabkan dia susah hendak ke depan macam Mawi atau Adam. Inilah ketidakadilan yang masih berlaku dalam masyarakat dan dunia hiburan kita. Bagaimanapun, saya berbangga dengan RTM kerana tidak mendiskriminasikan penyanyi muda yang berbakat besar seperti Bob. Seharusnya stesen TV lain juga memberikan lebih peluang kepada Bob untuk mengorak langkah kerana bakatnya.
Melihat keadaan fizikal Bob yang montel itu, rasanya kalau artis perempuan, Bob sama macam Adibah Noor. Mereka memang berbadan besar tetapi dikurniakan kelebihan vokal. Mungkin satu hari nanti kita dapat melihat Bob dan Adibah bergandingan dalam sebuah lagu - tentu gandingan yang hebat.
Menerusi Zoom In juga Bob mengundang rakan seperjuangannya, Kaer yang semakin gah dengan lagu Izinku Pergi selain Amylea. Bagi saya, inilah bakat-bakat baru yang sedang menjadi pelapis kepada penyanyi veteran sedia ada. Baguslah kalau mereka terus berusaha.