Thursday, June 7, 2007

Zila sibuk selepas terkejut

BAKAT dan suara yang dimiliki bekas pelajar Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Nur Azilah Seeron, 19, mula mendapat perhatian ramai sekali gus berjaya menggapai impiannya menjadi artis rakaman.




Biarpun hanya bertahan selama empat minggu dalam program realiti itu, Nur Azilah atau lebih mesra disapa Zila tetap menjadi bualan ramai dan mampu menarik perhatian beberapa syarikat rakaman yang mahu menyunting gadis manis kelahiran Negeri Sembilan ini menjadi artis mereka.

Zila juga mencatat sejarah tersendiri apabila muncul peserta AF4 pertama merakamkan album dengan judul Zila Seeron - Realiti, terbitan Apex Entertainment Network.

Mengulas mengenai album yang mengetengahkan konsep pop komersial itu, Zila berkata, album itu mengandungi pelbagai rentak lagu dan disifatkan sebagai permulaan mengejar impiannya menjadi penyanyi terkenal pada masa depan.

“Saya gembira dan terkejut kerana diberi peluang merakamkan album. Selepas selesai merakamkan album, perjalanan seni saya bertambah sibuk dengan pelbagai aktiviti.

“Ini termasuk memenuhi undangan mengadakan persembahan dan sebagai duta minuman Power Root, saya turut menyertai kempen promosi bersama beberapa artis lain termasuk Faizal AF4, Farah AF2 dan Noorul Huda Abdul Wahab (Nurul).

“Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan astro, Maestro dan Apex yang menghargai bakat serta sudi memberi peluang merakamkan album ini,” katanya.

Menyentuh konsep yang diketengahkan itu, kata Zila, album berkenaan memberi variasi muzik kepada semua lapisan masyarakat.

Katanya, album yang menyisipkan 11 lagu itu turut menampilkan ramai muka baru dalam penciptaan lagu dan penulisan lirik.

Antara lagu yang dijangka hit, Cinta Yang Di Sini, Ula La, Nafas Cinta, Kasih, Cinta Sulaman Malaysia, Andai, Ibu, Warkah Cinta, Realiti, Tak Ingin Lagi dan Warisan.

“Semua lagu ini mempertaruhkan karya komposer dan pencipta lirik yang masih baru dalam industri muzik, namun pada saya ia bukanlah penghalang untuk album ini mendapat sambutan peminat,” katanya.
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR