Showing posts with label Maya Karin. Show all posts
Showing posts with label Maya Karin. Show all posts

Wednesday, April 14, 2010

Apa citer Maya Karin ?

Malaywood dapat tahu akress jelita nie dikhabarkan mengalami krisis rumah tangga.


BUAT MASA INI MAYA ENGGAN MENGULAS KISAH PERIBADINYA.



BERITA tentang pergolakan rumah tangga aktres terkenal tanah air,Maya Karin Roelcke masih terus diperkatakan sejak dia mengumumkan perkara tersebut pada 24 Februari lalu. Kini, hampir dua bulan berlalu dan ramai yang menanti apakah keputusan yang diambil oleh Maya terhadap rumah tangganya.

Adakah masih ada harapan untuk menyambung kembali ikatan kasih yang hampir terlerai demi menyelamatkan sebuah ikatan suci?

Atau mungkinkah pelakon filem Pisau Cukur itu dan suaminya, Steven David Shorthose atau Muhammad Ali sudah mengambil kata putus untuk menoktahkan perkahwinan mereka yang tidak sampai dua tahun itu?

Bertemu dengan Maya di majlis pelantikannya sebagai duta terbaru jenama tilam terkemuka, Vono di Hotel Dorsett Regency, Subang Jaya, Selangor, Selasa lalu, dia hanya mampu melemparkan senyuman kepada soalan yang diajukan.

Walaupun terus diasak berkali-kali dengan pelbagai soalan, namun wanita kacukan Jerman-Melayu itu tetap dengan pendiriannya yang enggan berkongsi cerita.

Baginya, ia terlalu peribadi untuk diceritakan biarpun ada kalanya ia terlalu perit dan pahit untuk ditelan.
"Buat masa ini, saya enggan lagi berbicara tentang status perkahwinan saya. Apa yang saya katakan pada sidang akhbar tempoh hari sudah cukup untuk saya kongsi bersama masyarakat.
"Apa yang boleh saya katakan, saya perlu meneruskan kehidupan dan saya bahagia serta gembira dengan apa yang saya lalui walaupun berdepan masalah.
Malaywood : sentiasa mendoakan yg terbaik buat Maya ...

Saturday, April 12, 2008

Gaya Santai Maya Karin

Maya Karin

Maya Karin ni tetap cantik walaupun mengenakan pakaian yang sebegini dan make-up yang nipis.

Maya Karin

Rambut Maya yang curly ni pun menambahkan kejelitaan si duyung yang pandai berbahasa Melayu ni. Jangan marah Maya!!! Bertuahlah cik abang Si Maya ni dapat buah hati yang rupawan.

Maya Karin



sumber: manggaoline

Thursday, February 28, 2008

Maya bukan lagi ‘puntianak’ tapi 'duyung'

Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN

 


NANTIKAN kemunculan Maya dalam filem Duyung yang akan ditayangkan bermula 6 Mac ini.



PADA malam gala filem Duyung baru-baru ini pengarah Duyung, Prof. Madya A. Razak Mohaideen ada berkata, imej duyung yang dibawakan oleh Maya Karin mampu mengikis imej puntianaknya.

Jika dahulu Maya Karin dikenali sebagai puntianak kini ujarnya, nama Maya Karin akan sinonim dengan duyung.

Masalahnya kini mampukah imej duyung melekat pada pelakon kelahiran Bayreuth, Jerman ini lantaran populariti puntianak sudah begitu sinonim dengan Maya sejak empat tahun lepas.

lagi

Thursday, January 17, 2008

Sapa Artis Paling lawa kat Malaysia?

Last year (Dec 07), Malaywood ada buat polling, Sapa Artis Paling Lawa antara Rozita Che Wan, Maya Karin dan Erra fazira. memula tuh Erra mendahului pesaingnya, lama-lama ramai yg vote Rozita Che Wan. SO keputusannya antara Rozita, Erra dan Maya sapa yg paling lawa?

1. Rozita Che Wan
2. Erra Fazira
3. Maya Karin

Itu pendapat pembaca Malaywood, pilihan Malaywood pulak

1. Erra Fazira
2. Rozita Che Wan
3. Maya Karin

Malaywood: tolak tepi lah sentiment Erra tu dah kahwin, yg penting dia Miss Malaysia dan masih cun

Monday, December 3, 2007

Maya Karin bangga duta Tag Huer


KEJELITAAN dan kebijaksanaan yang dimiliki Maya Karin bersesuaian dengan pemilihannya sebagai duta TAG Heer.

PEMILIHANNYA sebagai duta terbaru jenama jam mewah, TAG Heuer sememangnya cukup tepat. Berbekalkan kejelitaan dan kebijaksanaan yang dimilikinya, rasanya, tiada siapa yang mampu untuk menafikan keputusan itu.

Maya Karin Roelcke atau Maya Karin mengakui dia cukup berbangga apabila dipilih menjadi duta jenama mewah itu apatah lagi kini dirinya sebaris dengan duta jam tersebut, antaranya Brad Pitt, Uma Thurman, Tiger Woods, Shah Rukh Khan, Maria Sharapova, Lewis Hamilton dan Zhang Ziyi.

“Apabila mereka menghubungi saya untuk memberitahu saya terpilih untuk menjadi duta mereka, saya tergamam dan hampir tidak percaya.

“Mana tidaknya, jenama TAG Heuer sudah menjadi idaman saya sejak kecil lagi. Malah, selalu saya mengimpikan seutas jam tangan tersebut terletak di tangan saya.

“Lagipun, saya memang tidak suka memakai jam tangan yang mempunyai muka yang kecil kerana tidak sesuai dengan jiwa saya. Dek kerana itu, saya suka memakai rekaan yang sporty kerana rekaannya yang begitu sesuai dan serasi dengan saya yang lasak dan bersedia menyahut cabaran.

“Apabila sudah bergelar pelakon pun, saya tidak berkesempatan untuk memilikinya. Namun kini, semua mimpi saya menjadi kenyataan dan saya bersyukur dengan rezeki ini. Bukan itu sahaja, saya juga berbangga kerana menjadi artis Melayu pertama menjadi duta TAG Heuer,” jelasnya sewaktu ditemui pada satu temuramah khas di Hotel Westin, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Katanya, pihak TAG Heuer telah menghadiahkannya enam utas jam tangan termasuk dua model terbaru iaitu Formula One Glamour yang turut dipakai oleh pemain tenis wanita terkenal, Maria Sharapova dan Grand Carerra.

Menjadi duta TAG Heuer selama setahun bermula 1 November lalu, sudah pasti bayaran yang diterima si jelita ini juga secantik jenamanya. Dengan tersenyum manja, Maya memberitahu: “Biarlah ia menjadi rahsia saya.”

Pemilihan Maya Karin itu juga menjadikannya sebagai artis Malaysia ketiga selepas Alex Yoong dan Asha Gill dipilih menjadi duta jenama itu.

Bercerita tentang rancangannya bersama TAG Heuer, wanita berusia 28 tahun ini memberitahu, jika segalanya berjalan dengan lancar, berkemungkinan besar dia akan ke Perancis tahun hadapan menghadiri satu acara yang melibatkan sukan perlumbaan motor.

Dalam meniti usia sedekad menjadi anak seni, dirinya juga tidak pernah terlepas dari kontroversi dan kritikan yang menjadikannya lebih kuat mengharungi dunia seni yang penuh cabaran ini.

Terbaru yang didengari, khabarnya, Maya Karin dan seorang lagi pelakon wanita yang membintangi filem Anak Halal, Fasha Sandha dikatakan tidak sebulu selepas berlakunya satu insiden tidak berapa lama dulu.

“Mana anda dengar cerita ini? Saya rasa saya tiada ada masalah dengan Fasha Sandha. Semua cerita itu tidak betul. Tiada. Malah, saya juga bersedia untuk mengikuti promosi filem Anak Halal dengan semua pelakon. Jadi, isu itu tidak timbul,” katanya tegas.

Bercerita tentang wataknya sebagai tomboy bernama Johanna dalam filem yang dikatakan filem terbaik 2007 itu, Maya menjelaskan, ia memberi kepuasan dan satu pembaharuan dalam kariernya.

“Saya memberi sepenuh jiwa saya untuk watak Johanna. Malah, saya juga tampil tanpa sebarang solekan ke atas wajah saya dan sanggup memotong rambut saya sebanyak empat inci.

“ Malah, pakaian saya dalam filem itu cukup ringkas. Saya harap apabila ia ditayangkan pada 13 Disember kelak, penonton akan datang ke panggung untuk menontonnya,” jelasnya yang murah dengan senyuman itu.

Tambahnya lagi, dia bersyukur apabila tahun 2007 memperlihatkan tiga filem lakonannya mencapai kejayaan yang membanggakan.

“Waris Jari Hantu, 1957 Hati Malaya dan Anak Halal semuanya mencatatkan kejayaan. Saya berasa gembira kerana terlibat dengan filem-filem itu dan saya mengharapkan tahun hadapan juga akan menjadi sebaik atau lebih baik dari tahun ini,” ujar Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 ini lagi.

Tahun hadapan, Maya akan muncul dengan filem Duyung yang merupakan arahan Profesor Madya A.Razak Mohaideen dan sebuah filem yang berjudul Setem arahan Khabir Bhatia.

“Filem Setem itu akan menjalani penggambaran sekitar Januari atau Februari nanti. Pelakonnya adalah Afdlin Shauki dan Rashidi Ishak. Saya begitu teruja untuk beraksi dalam filem ini nanti,” katanya.

Adakah Maya akan beraksi untuk kali kelima dalam filem arahan Shuhaimi Baba selepas Pontianak Harum Sundal Malam 1 & 2, Waris Jari Hantu dan 1957 Hati Malaya?

Jawapannya: “Setakat ini, Shuhaimi Baba tidak ada menceritakan apa-apa pada saya tentang perancangan filem terbarunya untuk tahun hadapan.”

Apabila ditanya tidak teringinkah berlakon drama atau sememangnya Maya menganggap dirinya begitu eksklusif yang hanya mahu wajahnya ditonton di layar lebar.

“Bukannya saya tidak mahu berlakon drama, tetapi jadual saya begitu padat. Bayangkan, setiap filem saya akan menjalani penggambaran hampir dua bulan. Jika saya berlakon tiga buah filem, maka, sudah enam bulan habis untuk filem sahaja. Jangan risau, bila sampai waktunya nanti, saya akan berlakon drama,” jelasnya yang sudah muncul dalam tiga episod drama bersiri, Anak Pontianak yang ditayangkan setiap Khamis, pukul 9.30 malam di TV3.'

Biodata Maya Karin

Nama penuh: Maya Karin Roelcke
Nama komersil: Maya Karin
Tarikh lahir: 29 Oktober 1979
Tempat lahir: Bayreuth, Jerman
Umur: 28 tahun

Tuesday, August 21, 2007

Yusry KRU akui sekadar berkawan dengan Maya Karin

PINTU hatinya tidak akan pernah tertutup untuk mencintai wanita. Meskipun rumah tangga yang dibinanya bersama aktres dan penyanyi wanita terkenal, Erra Fazira rebah di pertengahan jalan, Yusry tidak pernah menyesal melalui pengalaman itu.

Sejak perpisahan yang meruntun hati ramai peminat mereka berdua, nama lelaki ini acap kali dikaitkan dengan beberapa wanita terkenal. Duda paling menjadi perhatian ini tidak pernah sunyi daripada gosip cinta baru.

Malam Festival Filem Malaysia ke- 2- yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, awal Ogos lalu menghangatkan semula gosip percintaan Yusry apabila dia ke sana bersama aktres jelita, Maya Karin.

Benarkah antara mereka sedang mula menjalin hubungan yang istimewa? Tatkala pertanyaan itu diajukan, Yusry pantas menghamburkan tawanya sebelum memberi penjelasan.

“Kami ke sana untuk sama-sama mempromosikan filem Duyung. Lagipun, saya sudah berjanji dengan Maya untuk ke sana bersama-sama. Tiada apa yang istimewa antara kami.

“Hubungan kami tidak pernah pergi lebih daripada persahabatan. Malah masa penggambaran Duyung pun kami kerap berhubung atas sebab kerja, bukan kerana peribadi,” katanya, memperjelaskan kedudukan sebenar hubungan mereka pada acara makan malam bersama KRU Publishing di Bora Ombak, Ampang, baru-baru ini.

Meskipun pintu hati bekas isterinya sudah dibuka oleh cinta baru, Yusry hingga hari ini masih tegar sendirian. Belum ada tanda mahu menjalin hubungan yang serius walaupun agak sukar untuk dia menafikan bukan tiada wanita yang ingin melamar cintanya.

Cuma kata Yusry, kesibukan menyukarkan dirinya untuk memberi komitmen dalam sebuah perhubungan. Sebagai manusia, dia tidak pernah kecewa dengan kegagalan lalu sebaliknya Yusry melihat keruntuhan rumah tangga pertamanya sebagai proses pembelajaran untuk dia menuju kematangan.

“Saya masih mencari dan tidak akan pernah berhenti mencari. Cuma ketika ini, saya terlalu sibuk dengan karier. Jujurnya saya tidak pernah serik dengan kegagalan lalu. Itu semua sebagai proses pembelajaran untuk saya lebih matang menghadapi kehidupan.

“Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang ditakdirkan,” katanya

Monday, June 4, 2007

Waris Jari Hantu: Empat tahun Shumi pendam hasrat

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed


BUKAN senang Shuhaimi Baba
merealisasikan pembikinan filem terbarunya, Waris Jari Hantu (WJH) yang memasuki
pawagam sejak Khamis lalu.

Shuhaimi atau Shumi mengambil masa empat
tahun untuk memahami ilmu saka secara mendalam sebelum menghasilkan skripnya.
Bagaimanapun, hanya 50 peratus penceritaannya dipetik daripada kisah benar,
manakala selebihnya berdasarkan imaginasi fiksyen.

WJH bukanlah cerita
dongeng, sebaliknya cetusan ilham daripada kisah benar masyarakat di sekitar
Negeri Sembilan. Kebanyakan orang tua zaman dulu memiliki semangat rimau dan
sering kali pewarisnya adalah golongan wanita.

Masyarakat dulu percaya,
semangat rimau mampu melindungi keluarga, tempat tinggal dan kampung halaman
mereka daripada ancaman musuh, bagaimanapun semangat itu akan bertindak ganas
sekiranya dicabar.

Menerusi WJH watak pemilik semangat rimau, Tok Wan,
dilakonkan Seniwati Azean Irdawaty. Turut beraksi Maya Karin sebagai Tina, Rusdi
Ramli sebagai Ari/Ariana, Nanu Baharudin (Kasma), Liza Othman (Mak Yati), Zaidi
Omar (Pak Ngah), Dang Suria (Farah), Riezman Khuzaimie (Roslan), Kavita Sidhu
(Ira) dan Rashid Salleh (Ah Meng) serta penampilan istimewa Ida Nerina, Jit
Murad dan Joanna Bessey.

Ikuti temubual Bintang Popular (BP) bersama
Shumi, Khamis lalu.

BINTANG POPULAR (BP) Apa itu Waris Jari Hantu?

SHUMI: WJH mengenai warisan mistik semangat harimau yang menjadi cerita
legenda popular bagi sesetengah masyarakat Melayu negara ini. Bukan hanya di
Malaysia, malah seluruh Asia Tenggara tahu mengenai kewujudan saka rimau. Ini
bukanlah filem hantu tetapi sebuah drama penuh mistikal.

BP: Bagaimana
tercetusnya ilham filem mistik sebegini?

SHUMI: WJH ditulis berdasarkan
pengalaman seorang teman rapat saya yang berada di London. Beliau tertarik
dengan cerita semangat rimau dan mahu dirinya mewarisi ilmu saka serta menjadi
sebahagian komuniti rimau yang menetap di London. Dia seorang lelaki lembut yang
begitu tertarik dengan komuniti semangat rimau saka Negeri Sembilan. Hanya
golongan perempuan menjadi pewarisnya kerana perempuan adalah tuan tanah dalam
adat Negeri.

BP: Kenapa menunggu masa agak lama untuk merealisasikan
WJH?

SHUMI: Ideanya dah tercetus kira-kira empat tahun lalu,
bagaimanapun saya terpaksa menangguhkan pembikinannya dulu kerana ketika itu
saya belum tahu penerimaan masyarakat terhadap kisah mistik dan alam ghaib.
Selepas Pontianak mendapat sambutan, barulah saya dapat membaca penerimaan
penonton. WJH bukan saja membabitkan ilmu saka yang mistikal, malah manusia
khunsa pun saya anggap sebagai mistikal. Lalu, saya gabungkan dua elemen iaitu
semangat rimau dan manusia khunsa.

BP: Difahamkan anda memang membawa
harimau ketika penggambaran. Tidakkah ia membahayakan?

SHUMI:
(Tergelak). Inilah pertama kali saya menggunakan harimau dalam filem saya. Untuk
keselamatan, pelakon WJH tidak berlakon dengan harimau tapi kami mengambil shot
harimau dulu pada peringkat permulaan. Dua harimau berusia dua dan tiga tahun
dari Tiger Shelter, Ipoh dipilih. Ia memang garang dan shooting perlu dibuat
mengikut mood mereka. Kami juga guna kamera khas supaya ia tidak membahayakan
DOP (pengarah fotografi). Lucunya, seekor harimau itu kebetulan namanya Azean!
Selepas mendapat shot kedua-dua harimau itu, kami mencantumkannya dengan CGI
(Imej Janaan Berkomputer). Kira-kira 20 peratus filem ini menggunakan CGI.
Seperti biasa, saya menggunakan kamera High Definition (HD) serta kesan bunyi
Dolby Stereo Surround (DSS) bagi menambahkan lagi kesan gegar dan ngauman rimau.

BP: Benarkah Rusdi dan Maya hampir-hampir putus asa gara-gara tidak
dapat membawakan watak Ari dan Tina?

SHUMI: Ya, mereka hampir mengalah
dan enggan meneruskan sesi latihan. Alasannya, watak Ari dan Tina terlalu berat.
Apabila berdepan dengan keadaan itu, saya tidak ada pilihan lain selain memujuk
dan terpaksa menyuntik keyakinan lagi dalam diri mereka.Bagaimanapun, saya tak
salahkan Maya atau Rusdi kerana saya faham bukan senang bagi Maya membawakan
watak Tina yang bercinta dengan khunsa. Dari segi fizikal, Rusdi tidak ada
masalah mengikut cara lelaki lembut berjalan atau bercakap, cuma tertekan
bermain dengan emosi.

BP: Bagaimana anda melihat perkembangan lakonan
Maya yang sudah sinonim dengan watak pontianak?

SHUMI: Maya dan karakter
pontianak memang sukar dipisahkan. Memang Maya perlu mengambil sedikit masa
untuk mengatasi masalah itu. Bagaimanapun, saya bangga dengan ketekunan Maya
kerana dia akhirnya mampu melakonkan watak Tina, gadis kampung yang naif. Ia
berbeza dengan karakter sebenarnya di luar filem. Begitu juga Azean Irdawaty.
Kita selalu lihat gaya serta penampilan Azean dalam karakter moden dan komedi,
tapi Tok Wan benar-benar menukar perwatakannya dalam lakonan.

BP: Bajet
pembikinan WJH?

SHUMI: WJH diterbitkan dengan kos agak rendah, RM1.4
juta tapi saya berbangga dengan barisan pelakon, tenaga produksi dan tenaga
teknikal kerana mereka mampu melaksanakan tugas dengan memuaskan. Saya agak
tertekan kerana WJH terpaksa ditayangkan bersama blockbuster seperti Pirates of
the Caribbean 3, Shrek3 serta Spiderman 3. Bagaimanapun saya percaya, kalau ada
rezeki, ia tidak akan ke mana selepas kita berusaha dan saya hanya bertawakal.

BP: Bagaimana dengan road tour WJH?

SHUMI: Saya terharu dengan
sambutan peminat dalam siri road tour WJH di seluruh Malaysia.Program promosi
bermula di Pulau Pinang disusuli Lembah Klang, Plaza Alam Sentral, Shah Alam,
Selayang dan diteruskan ke Terminal One, Seremban, Mahkota Parade, Melaka pada
Mei lalu. Semalam (Sabtu) road tour WJH dibuat di Kuantan Parade, Kuantan dan
akan berakhir di Jom Heboh bertempat di Danga Bay, Johor Bahru pada 9 Jun ini.
Kalau ada masa datanglah berjumpa pelakon kami.

Wednesday, May 23, 2007

Coming Soon: Waris Jari Hantu


Starring: Maya Karin, Rusdi Ramly, Azean Irdawaty, Nanu Baharudin, Kavita Sidhu
Director: Shuhaimi Baba
Genre: Horror
Release Date: 31-May-2007


Synopsis: Ina and Ari are best friends and relatives of Tok Wan Rimau, the custodian of the spiritual tiger, who is searching for a female heir to inherit her powers. Tok Wan and her spiritual tiger protect her family and their village from harm. Despite parental objections, Tina seems destined to be the next in line as custodian of the mystical tiger. But Ari steps in, offering himself instead.
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR