Selepas lebih setahun mencari, komposer M. Nasir hari ini memperkenalkan Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin sebagai heroin filem Aduh Saliha arahannya.
Puteri Sarah Liyana, 22, yang mesra dengan panggilan Sarah akan bergandingan dengan Mawi yang berlakon sebagai hero filem tersebut.
Menurut M. Nasir, Sarah menjadi pilihan kerana memiliki daya tarikan tersendiri yang tidak ada pada gadis-gadis yang dicari sebelum ini.
‘‘Apabila melihat wajahnya, saya dapat merasakan Sarah ada kualiti dan memenuhi kriteria untuk melakonkan watak Saliha, seorang gadis kampung yang ayu. Lagipun saya rasa dia serasi dengan Mawi,” katanya pada majlis memperkenalkan Saliha di sini hari ini.
M. Nasir menambah, Sarah sudah ada asas lakonan dan ini memudahkan beliau membentuk pelakon itu.
Filem Aduh Saliha yang diterbitkan oleh The Cameracrew Productions Sdn. Bhd. (TCPSB) merupakan filem kedua arahan M. Nasir selepas Merah.
Filem yang skripnya ditulis bersama oleh M. Nasir dan Loloq itu akan memulakan penggambaran pada akhir Ogos ini di Sabah.
Filem genre muzikal separa fantasi yang bakal menelan kos sebanyak RM1.5 juta itu merupakan filem pertama lakonan Sarah dan Mawi.
Sarah sebelum ini pernah muncul dalam drama Kawan, Dunia Anita dan Puteri serta beberapa iklan seperti Silky Girl, Digi, F & N dan Nivea.