SELASA lalu juara program TV realiti paling popular, Akademi Fantasia 3 (AF3), Mawi mengeluh apabila jualan album terbarunya berjudul Satu Dalam Seribu jatuh merudum.
Album terbitan Maestro Records itu kata Mawi, hanya dijual sebanyak 30,000 unit sahaja biarpun ia sudah berada di pasaran sejak April lalu.
Walhal dua tahun lalu, tidak sampai sebulan muncul juara AF3, album pertamanya, Best Of Mawi berjaya dijual sebanyak 165,000 unit.
Malah, album-album Mawi selepas itu juga mendapat sambutan hebat, misalnya album Mawi Tercinta dijual sebanyak 135,000 unit dan Doa, Berzanji Dan Qasidah Berlagu (120,000 unit).
Ternyata kemunculan anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini telah mencetuskan suatu fenomena baru dalam dunia hiburan tempatan.
Mana tidaknya, selepas berbelas-belas tahun, mana ada penyanyi yang baru merangkak mahu belajar menyanyi seperti Mawi mendapat kejayaan yang begitu hebat dalam dunia hiburan kita.
Album Ella berjudul Ella USA yang diedarkan pada Februari 1994 berjaya dijual 320,000 unit, itu pun selepas hampir 10 tahun Ratu Rock tempatan ini bergelumang dalam bidang nyanyian.
Sewaktu mula-mula menyertai AF3 lagi, Mawi sudahpun berjaya menarik perhatian ramai penonton dengan sikapnya yang selamba.
Pelbagai cerita peribadi mengenai penyanyi berusia 25 tahun ini yang telah dipaparkan menerusi program TV terbitan Astro tersebut sehingga para penonton terasa begitu dekat dengan karekternya itu.
Sambutan para penonton terhadap segala perkara yang telah dipaparkan mengenai Mawi itu menyebabkan para peminat begitu taksub memujanya.
Ceritalah apa juga perkara-perkara yang buruk tentang artis pujaan mereka itu, tetapi jika sikap fanatik sudah menguasai diri, ia ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
Justeru, apa juga yang dilakukan oleh Mawi termasuklah jika dia menyanyi sumbang, terlupa lirik lagu ataupun gosip-gosip liar yang melandanya, para peminat seakan-akan sanggup tutup mata dan telinga.
Itu adalah antara penangan ‘kuasa’ atau aura yang dimiliki oleh anak didik kebanggaan M. Nasir ini sehingga popularitinya sukar digugat oleh penyanyi-penyanyi lain.
Terbukti usaha Astro mempromosikan program AF termasuklah Mawi berjaya menimbulkan kesan yang mendalam terhadap para peminat dan juga dunia hiburan tempatan.
Tetapi persoalannya, sampai bilakah sanjungan para peminat terhadap juara program TV realiti seperti Mawi yang diangkat menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) itu akan berterusan?