Tuesday, October 9, 2007

Di Sebalik Tabir: Proses pentaskan P Ramlee The Musical lebih getir

JIKA Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) menggunakan enam set utama, P Ramlee The Musical yang bakal dipentaskan minggu depan pula mempunyai sebanyak 12 set utama dan enam set kecil. Jumlah prop yang digunakan juga banyak iaitu sebanyak 204 terdiri daripada cawan, beg, beg mekap, surat khabar, beca, kamera, lampu penggambaran dan banyak lagi semuanya bercirikan zaman 40-an sehingga 70-an.

Prop yang digunakan bukan boleh diperoleh dengan mudah tetapi Raja Malik bersama teamnya terpaksa menjelajah ke Melaka, Pulau Pinang dan juga kedai antik untuk mendapatkannya. Raja Malik yang pernah mencurahkan ideanya untuk PGLM berkata, P Ramlee The Musical lebih getir tugasnya berbanding PGLM kerana PGLM adalah sebuah mitos.

Berbeza dengan P Ramlee The Musical yang berkisarkan kisah benar seorang Seniman Agung, justeru set yang dihasilkan haruslah mempunyai persamaan dengan apa yang pernah penonton nampak di dalam filem lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee. "Tidak semua saya tiru sebiji-biji, ada yang dihasilkan mengikut idea sendiri. Tetapi persamaan sedikit sebanyak perlu ada supaya penonton dapat menghayati muzikal ini seperti dalam filem," katanya yang pergi ke Pulau Pinang untuk melihat kesan bangunan lama yang masih tinggal.

Katanya, sebaik diberikan tanggungjawab untuk mereka set teater muzikal itu, dia mula berkurung selama sebulan sendirian melakukan kajian seperti membaca buku mengenai Seniman Agung itu, menonton kembali filem lakonannya serta melayari internet untuk mendapatkan gambaran yang lebih mendalam. "Saya mula buat kajian sejak April, sepanjang waktu itu saya berkurung di rumah buat kajian. Sebaik kajian siap, saya mula buat model set. Saya lebih senang menghasilkan terus model untuk set daripada melakar. Selepas itu saya tunjukkan pada Zahim dan Adlin model set dan dari situ kami bincang apa yang perlu dan tidak.

"Kali ini lebih mencabar kerana kita menggunakan banyak prop. Contohnya seperti kamera dan lampu penggambaran semua itu hanyalah replika semata-mata. Saya pergi ke Finas untuk melihat peralatan penggambaran dan kemudian kita hasilkan sendiri di kilang mengikut contoh sebenar. "Apa yang menyukarkan, saya perlu ikut babak demi babak. Babak dari Singapura ke Pulau Pinang dan konsep muzikal ini yang diambil dari filem," katanya yang turut meniru trofi anugerah yang pernah dimenangi Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Bukan dia tidak boleh meminjam saja prop yang diinginkan daripada pihak Finas ataupun barang milik Allahyarham tetapi bimbang barang berkenaan akan rosak menyebabkan dia lebih senang menghasilkan barang itu sendiri. Lagipun dengan tenaga kerja yang ramai hampir mencecah 80 orang, Raja Malik tidak menghadapi sebarang masalah. Dia memecahkan tugasan kepada beberapa kumpulan mengikut kepakaran masing-masing. Kumpulan itu membabitkan jurutera, props, tukang cat, pembina set, kostum, team video dan juga transformer (bertugas mengalihkan set).

Selain itu, Raja Malek turut dibantu oleh dua orang pembantu yang membantunya melakukan kajian. Lebih menariknya lagi, sebuah prop kereta api adalah salah satu keistimewaan yang terdapat pada pementasan itu. Prop kereta api sebanyak lima gerabak itu dihasilkan daripada plywood dan boleh dipandu. Bagi menjamin keselamatan setiap pelakon, bangunan yang dihasilkan turut mendapatkan khidmat jurutera untuk memastikan bangunan yang dibina daripada bahan kayu itu selamat digunakan.

Proses memasang dan mengecat ke semua set yang terdiri daripada kedai, kuarters Jalan Ampas, kelab kabaret itu dianggarkan dapat disiapkan dalam tempoh dua minggu. Bagi mewujudkan suasana dulu-dulu juga, kata Raja Malek dia menggunakan banyak iklan yang lama supaya matlamat yang ingin disampaikan tercapai," katanya.

Sumber : Berita Harian
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR