Wednesday, October 3, 2007

Ning,Yanie dan Nikki tidak sabar menunggu raya


Meskipun Ning Baizura adalah bos Artistes United Records sementara Yanie dan Nikki adalah artis-artis di bawan naungannya, namun hubungan ketiga-tiganya macam kakak dengan adik.
Justeru sewaktu Mega mengaturkan sesi fotografi raya di Hulu Langat baru-baru ini, ketiga-tiganya asyik bercerita tentang raya. Lucunya Nikki yang tidak menyambut raya itu pun tidak mahu melepaskan peluang bercerita tentang raya.
Suasana ceria itu membuatkan sesi foto yang dilakukan pada tengah hari itu berjalan lancar biarpun keletihan.

Syawal penuh makna bagi Ning

Tahun ini kedatangan Ramadan dan Syawal amat bermakna bagi Ning, 32, kerana dapat meraikannya bersama tunang tercinta, Omar Sharif Christopher Layton Dalton, 33.
Ning yang bertunang pada 19 Julai lalu sentiasa berusaha berbuka puasa bersama Omar agar tunangnya itu tidak berasa terpinggir.

“Kalau tidak ada apa-apa aktiviti, memang Ning akan berbuka puasa dengan Omar. Kita yang selalu berpuasa pun tidak suka berbuka seorang diri, ini pula dia yang baru.
“Ning tengok dia memang teruja sangat dengan suasana baru ini. Bersahur, berpuasa dan berbuka adalah perkara baru bagi Omar. Malah dia juga tidak sabar untuk menyambut raya,” cerita Ning yang sudah teruja untuk memasak rendang tok dan kari ayam kegemaran tunangnya pada raya ini.

Selepas bersama ibu, Ning akan berkunjung ke rumah ayahnya, Sheikh Hamzah Sheikh Mohd. di Shah Alam dan pada raya kedua, dia akan beraya di Kajang bersama sanak saudara yang lain pula.
Album Inggeris
Ning yang merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan Omar pada pertengahan tahun depan berkata, sekarang ini dia berdebar menunggu album Inggerisnya.
Album yang dirakamkan di London itu dijangka berada di pasaran pada Disember ini.
“Ning harap sangat album itu akan mendapat sokongan daripada peminat-peminat. Dalam album itu juga terdapat lagu Drama yang muziknya disusun baru serta lagu Tango In Paris,” katanya tentang album terbitan Luigi Bejona itu.

Yanie borong beli kek pisang

Sebelum pulang ke Kampung Sembulan Lama, Kota Kinabalu, Sabah untuk berhari raya, Yanie atau Siti Suriane Julkarim, 22, terlebih dahulu akan memborong kek pisang.
Kek itu, katanya, merupakan antara cenderamata yang perlu dibawanya pulang setiap kali balik kampung.
“Orang lain kalau balik kampung berat dengan pakaian, Yanie pula sarat dengan makanan. Sebenarnya mak Yanie suka makan kek pisang dari Semenanjung. Selalunya kek itu Yanie beli di Pasar raya Mydin.
“Kali ini Yanie akan borong di Chow Kit. Bukan seketul dua nak beli, kena beli banyak sebab mak ada 10 adik-beradik. Jadi Yanie kena bagi sama rata,” katanya sambil ketawa.

Yanie yang akan pulang ke kampung tiga hari sebelum raya itu turut membeli pakaian untuk adik-adiknya.
Selain itu sudah menjadi tabiat anak sulung ini, sejak awal puasa dia gemar mengumpul wang kertas RM1 untuk dijadikan duit raya. Wang tersebut akan diberikan kepada tetamu kecil yang berkunjung ke rumahnya.
“Yanie tidaklah tetapkan berapa banyak nak guna untuk dibuat duit raya. Semuanya bergantung kepada bajet. Kalau ada rezeki lebih, banyaklah Yanie hulurkan duit raya untuk adik-beradik dan budak-budak yang datang ke rumah,” katanya terus terang.

Penyanyi yang gemar makan kuih makmur buatan ibunya itu berkata, setiap kali balik kampung dia perlu memiliki wang tunai RM2,000.
Jelas Yanie, kalau balik dengan tangan kosong baik tidak perlu balik kerana bila di kampung, dia gemar membelanja adik-adiknya.
“Perkara yang wajib ada bila nak balik kampung adalah buah tangan untuk saudara mara. Kemudian poket mesti penuh,” katanya.

Begitu juga kalau setiap kali menerima bayaran persembahan, dia pasti akan mengirimkannya kepada ibu.
“Kalau Yanie dapat banyak, mak pun akan terima banyak. Kalau sikit Yanie dapat, sikitlah mak dapat. Yanie perlu mengutamakan keluarga kerana Yanie anak sulung. Lagipun tiga orang adik Yanie masih bersekolah,” katanya penuh tanggungjawab.
Dia yang telah berduet dengan Ning dan Nikki dalam lagu Drama dan Saling Terpesona bersama Diddy berkata, album sulungnya akan berada di pasaran pada tahun ini.
Ujar Yanie, sekarang ini dia tidak berani memberitahu tarikh sebenar albumnya dipasarkan kerana sudah beberapa kali tertunda.

“Apa Yanie boleh kata, album itu akan berada di pasaran tahun ini, tapi tarikhnya belum pasti. Kelewatan album tersebut disebabkan Yanie sibuk berlakon,” katanya.

Nikki belajar berpuasa

Bila melihat Yanie berpuasa, Nikki atau nama sebenarnya Nicolette Louisa Palikat, 22, teruja untuk melakukan perkara yang sama.
Nikki yang merupakan teman serumah Yanie berkata, hari pertama berpuasa, dia benar-benar tidak bermaya.
“Nikki nak juga rasai keseronokan berbuka puasa, sebab itulah Nikki berpuasa. Hari pertama bila menjelang pukul 5 petang, badan sudah berasa gigil tapi Nikki tahankan juga.
“Bila masuk hari kedua, Nikki sudah dapat atasi kelemahan itu. Nak kata lapar tidak, cuma perlu air banyak. Sekarang ini tidak berasa apa-apa,” ceritanya yang gemar makan kurma sewaktu berbuka puasa.

Selain menemani Yanie berbuka, Nikki juga menjadikan amalan berpuasa sebagai salah satu cara berdiet.
Bukan setakat berpuasa dan berbuka, Nikki juga akan bangun pagi untuk bersahur. Katanya, dia akan bangun sahur pukul 5 pagi. Makanan kegemarannya ketika itu ialah sandwich.
“Kalau boleh Nikki nak berpuasa sebanyak mungkin, sebab lepas itu bolehlah sambut raya. Nikki pun nak beli baju raya iaitu baju kebaya bila sambut raya nanti,” katanya tersenyum.

Jelas Nikki, merai raya di kalangan ahli keluarganya bukan perkara baru. Ini kerana ada antara saudara maranya yang telah memeluk agama Islam.
“Keluarga kami muhibbah. Hampir semua perayaan kami rai. Tidak dinafikan perayaan besar begitu dapat mengeratkan lagi hubungan saudara mara tanpa mengira agama,” katanya terus terang.
Sumber : Utusan
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR