Showing posts with label Farah Asyikin. Show all posts
Showing posts with label Farah Asyikin. Show all posts

Tuesday, October 23, 2007

Baju Farah tak kena

CERITA artis berpakaian seksi atau tidak sesuai majlis bukanlah cerita baru. Dah banyak kali SS dengar dan banyak kali juga suku sakat SS sentuh perkara ini tapi nampaknya masih ada yang tidak ambil iktibar.Cerita terbaru disampaikan peminat yang meluahkan rasa terkilannya kepada SS mengenai penampilan penyanyi yang makin dikenali menerusi lagu Seribu Penipuan, Farah Asyikin.


Bekas bintang realiti Malaysian Idol dan One In A Million (OIAM) ini dikatakan memilih pakaian kurang sesuai ketika menjayakan program Cit Cat Raya 2007 yang disiarkan menerusi Astro Ria pada raya keempat.Tidak tergamak pula SS hendak tulis gelaran yang diberikan peminat mengenai penampilan Farah itu. SS difahamkan, Farah hanya berskirt pendek dan pakai leotards (stokin panjang) jarang bersama boots ketika menyanyikan lagu dari album sulungnya, Seribu Penipuan.
Rakaman program itu pula diadakan di hadapan penonton ketika Ramadan lalu.Kata peminat itu, dah namanya program raya dan untuk siaran khas pada hari raya, tidak sesuai sangat kalau berpakaian moden hanya berskirt pendek. Katanya lagi, walaupun bukan menyanyikan lagu raya, itu bukanlah alasan untuk Farah tampil dengan imej begitu kerana ia mungkin sesuai untuk persembahan konsert atau di kelab. Malah imej begitu memang menjadi pilihannya untuk menambat hati peminat."Tentu Farah tahu itu program raya dan tidak salah kalau dia pilih baju yang lebih sesuai kalaupun bukan baju kurung atau pun kebaya sebagaimana artis lain. Lagi pun Farah wanita Melayu, tentu lebih manis berpakaian lebih sopan.


"Kalau Jaclyn Victor yang turut sama menjayakan program itu boleh pakai baju sesuai, mengapa pula Farah tidak boleh. Imej begitu memanglah kesukaan gadis remaja sekarang tapi Farah bukan remaja lagi sebaliknya dia isteri orang.
"Patutnya Farah memilih imej lebih manis dan sopan. Janganlah kerana terlalu minat penyanyi Barat sampai pakaian pun ikut imej mereka," katanya.
SS harap Farah ambil iktibar daripada teguran ini. Sudah ramai artis memilih imej seksi sukar diterima peminat walaupun berbakat dan lagu menarik.


Sumber : Metro

Thursday, July 5, 2007

Farah Asyikin tidak tiru Kelly Clarkson

Penantian hampir 10 tahun berakhir bagi Farah Asyikin Zulkifli, 28, apabila album sulungnya yang berjudul Farah Asyikin menjengah pasaran sejak Mei lalu.

Apa yang mengejutkan, penampilan yang ditonjolkannya sebelum ini sewaktu menyertai pertandingan TV realiti, Malaysian Idol 2 (MI2) dan One In A Million (OIAM), berbeza dengan apa yang dipersembahkan dalam album sulungnya.

Kalau dulu Farah sering mempersembahkan lagu-lagu berirama perlahan tetapi dalam albumnya, lebih banyak lagu-lagu rancak.

Dengan mempertaruhkan konsep pop agresif, Farah Asyikin berasa puas dengan album sulungnya itu sambil menyifatkan sudah menemui hala tujunya dalam industri muzik.

“Saya tahu ramai yang menyangkakan saya sesuai membawakan lagu-lagu yang bercorak balada dan sentimental berdasarkan penampilan saya dalam MI2 dan OIAM.

“Tetapi, dalam album sulung ini, saya mahu tonjolkan kelainan dan mahu membuktikan kepada peminat bahawa Farah Asyikin juga mampu melakukan sebaliknya. Ini adalah diri saya yang sebenar,” kata Farah pada majlis pradengar albumnya itu di syarikat rakaman, Free Nature Records, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR